Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pence gesa Korea Utara hormat kebebasan beragama

Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence, berikrar akan menggesa Korea Utara supaya menghormati kebebasan dalam beragama walaupun tumpuan AS dalam sidang-sidang puncak berprofil tinggi adalah pelucutan senjata nuklear.

Anggaran Waktu Membaca:
Pence gesa Korea Utara hormat kebebasan beragama

Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence, semasa berucap di mesyuarat mengenai kebebasan beragama. (Gambar: Mandel Ngan/AFP)

Diterbitkan : 19 Jul 2019 01:58PM Dikemas Kini : 19 Jul 2019 02:02PM

WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence, berikrar akan menggesa Korea Utara supaya menghormati kebebasan dalam beragama walaupun tumpuan AS dalam sidang-sidang puncak berprofil tinggi adalah pelucutan senjata nuklear.

Encik Pence mengutarakan ikrar itu kepada sidang Jabatan Negeri mengenai kebebasan beragama, yang diadakan beberapa minggu selepas Presiden Donald Trump bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, untuk kali ketiga dan bersetuju untuk memulakan rundingan peringkat asas.

"Anda boleh berasa yakin kerana Presiden Trump terus berusaha ke arah pelucutan senjata nuklear Korea Utara dan keamanan yang berpanjangan.

Amerika Syarikat akan terus menggesa kebebasan beragama untuk semua orang dari semua pegangan agama di semenanjung Korea," kata Encik Pence, seorang penganut Katolik konservatif yang terkenal dalam kalangan penyokong Presiden Trump.

Encik Pence mengatakan bahawa Open Doors, sebuah kumpulan penyokong orang Kristian yang dianiaya, menganggap Korea Utara sebagai negara paling buruk mencabuli kebebasan beragama selama 18 tahun berturut-turut.

Para pegawai Korea Utara berikrar untuk "'menghapuskan puak konservatif Kristian dan pemilikan kitab Bible adalah kesalahan yang membawa hukuman mati," kata Encik Pence.

Encik Trump secara terbuka mengakui hubungannya dengan Kim amat baik, bahkan menyifatkan kedua-dua mereka saling "bercinta" sedang beliau berusaha mencapai satu perjanjian bersejarah.

Korea Utara sering tidak mengendahkan kritikan asing dan menuduh pihak-pihak tersebut cuba menghambat usaha diplomatik.

Awal minggu ini, Korea Utara memberi amaran bahawa penyambungan rundingan boleh terjejas akibat latihan ketenteraan antara Amerika Syarikat dengan Korea Selatan.

Sumber : AFP/HK/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan