Pencarian bangkai pesawat MH370 ditangguh ke hujung tahun 2025
Kerajaan Malaysia telah mencapai persetujuan dengan Ocean Infinity (United Kingdom) untuk menyambung semula pencarian bangkai pesawat bagi penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang pada 2014.
Serpihan yang dipercayai sebahagian daripada bangkai pesawat MH370 dipamerkan di satu acara pada 3 Mac 2024, untuk memperingati tahun ke-10 kehilangan pesawat itu. (Gambar: AFP/Arif Kartono)
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perjanjian berhubung perkara itu dimeterai minggu lalu.
Beliau juga mengesahkan bahawa operasi pencarian itu buat masa ini dihentikan atas alasan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Operasi pencarian tersebut dijangka disambung semula pada hujung tahun ini.
Encik Loke berkata demikian dalam sidang media pada Rabu (2 Apr) selepas menyambut ketibaan penerbangan pertama British Airways ke Malaysia setelah lima tahun tidak beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau mengulas pengumuman pencarian bangkai pesawat malang itu telah ditangguhkan hingga musim panas akan datang di Hemisfera Selatan, yang dibuat oleh Persatuan Ahli Keluarga Penumpang dan Anak Kapal MH370.
Persatuan itu memetik keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan komitmen Ocean Infinity sebelum ini sebagai punca di sebalik penangguhan operasi tersebut.
Sebelum ini, kerajaan Malaysia bersetuju dengan terma dan syarat perjanjian perkhidmatan Ocean Infinity atas prinsip di mana tidak ada bayaran akan dbuat sekiranya bangkai pesawat tidak dijumpai atau yang disebut sebagai 'no find, no fee'.
Ini bermakna Kerajaan Malaysia hanya perlu membayar Ocean Infinity sebanyak USD70 juta (S$93.4 juta) jika bangkai pesawat itu berjaya ditemukan.
Syarikat robotik marin itu mengambil bahagian dalam operasi pencarian MH370 sejak Januari 2018 yang meliputi kawasan lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut selatan Lautan Hindi sebelum menghentikan misi pada 29 Mei tahun sama.
Pesawat tersebut hilang pada 8 Mac 2014 setelah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China dengan 239 penumpang serta anak kapal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.