Skip to main content

Dunia

Pencabulan hak asasi manusia yang serius dilakukan di Xinjiang, China: Laporan PBB

Anggaran Waktu Membaca:
GENEVA: Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada lewat Rabu (31 Ogos) menyatakan pencabulan hak asasi manusia yang serius telah dilakukan di wilayah Xinjiang, China.

Dalam laporannya yang ditunggu-tunggu selama ini, Cik Michelle Bachelet berkata pencabulan itu dilakukan dalam konteks melaksanakan strategi-strategi menangkis pengganasan dan anasir pelampau.

Cik Bachelet mendedahkan laporan itu pada hari terakhir penggal jawatan beliau selama empat tahun.

Para aktivis hak asasi manusia, sebelum ini, menuduh Beijing melakukan banyak pencabulan hak asasi kaum Uighur dan kaum-kaum minoriti lain yang beragama Islam di wilayah barat China itu.

Ia termasuk menahan lebih sejuta orang Uighur serta memusnahkan tempat-tempat budaya dan agama mereka.

Pemerintah China menafikan semua tuduhan tersebut dan menentang laporan PBB itu didedahkan kepada umum.

Beijing menegaskan tiada kem tahanan melibatkan etnik Uighur dan kumpulan minoriti Islam di Xinjiang, sebaliknya, ia merupakan pusat pendidikan vokasional dalam usaha mengekang pengganasan pelampau.

Laporan setebal 49 halaman itu tidak merujuk kepada pembunuhan beramai-ramai: salah satu dakwaan utama yang dibuat oleh pengkritik China, termasuk Amerika Syarikat dan penggubal undang-undang di negara Barat yang lain.

Sebaliknya, ia menggesa Beijing, PBB dan seluruh dunia menumpukan perhatian kepada situasi yang dijelaskan berlaku di Xinjiang.

"Situasi hak asasi manusia di XUAR juga memerlukan perhatian segera oleh pemerintah, badan antara pemerintah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sistem hak asasi manusia, serta masyarakat antarabangsa secara lebih meluas," katanya.

Bercakap selepas pejabat Cik Bachelet mengumumkan ia akan mengeluarkan laporan itu, Duta Besar China ke PBB di New York, Zhang Jun, berkata Beijing "tegas menentang" penilaian dibuat laporan tersebut.

"Isu Xinjiang itu adalah pembohongan semata-mata yang direka sepenuhnya daripada motivasi politik dan tujuannya adalah untuk menjejaskan kestabilan China dan menghalang pembangunan China," kata Encik Zhang kepada pemberita.

Beliau berkata Cik Bachelet sepatutnya kekal "bebas" dan tidak menyerah kepada "tekanan politik" dari negara Barat.

Cik Bachelet dan pejabatnya telah berulang kali menjelaskan bahawa satu sebab laporan itu ditangguhkan adalah kerana ia telah dihantar ke Beijing terlebih dahulu untuk mendapatkan ulasan, seperti biasa dengan laporan sedemikian.

Encik Zhang bagaimanapun menegaskan bahawa China tidak melihat laporan itu, dan "menentang sepenuhnya".

"Ia hanya menjejaskan kerjasama antara PBB dan negara anggota. Ia sama sekali mencampuri hal ehwal dalaman China," katanya.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita