'Penat dengan perang': Sempadan Kapikoy Turki kini talian hayat rakyat Iran untuk larikan diri
Orang ramai, kebanyakannya warga Iran, menunggu selepas melintasi sempadan Kapikoy di wilayah Van, Turki, pada 5 Mac 2026. (GambarL AP/Serra Yedikardes)
Rakyat Iran yang keletihan terus tiba di bandar sempadan ini; ada yang melarikan diri daripada serangan bom, manakala yang lain berharap dapat menunggu sehingga konflik berakhir dengan selamat.
Lebih 3 juta rakyat Iran kehilangan tempat tinggal sejak perang bermula.
Bagi kebanyakan penduduk, keputusan untuk pergi hanya dibuat selepas berminggu-minggu hidup dalam ketakutan dan ketidaktentuan, sedang serangan udara semakin hebat dan kehidupan seharian menjadi semakin berbahaya.
Sedang serangan Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran memasuki bulan kedua, dan dengan ruang udara negara itu ditutup, melarikan diri tidak lagi semudah menempah tiket penerbangan.
Sebaliknya, ramai yang menempuh perjalanan sukar dengan berjalan kaki, menaiki kereta dan kereta api, untuk menuju ke sempadan darat yang kini menjadi laluan keluar kritikal.
Kapikoy kini antara beberapa pintu keluar yang masih boleh dilalui.
Perjalanan itu sendiri amat panjang dan memenatkan. Perjalanan bas dari Tehran mengambil masa beberapa jam, manakala perjalanan kereta api boleh memakan masa hampir sehari suntuk.
Namun, bagi ramai penduduk, segala kesusahan itu dianggap wajar demi keselamatan mereka.
Beberapa orang yang tiba memberitahu Mediacorp bahawa mereka menyaksikan sendiri serangan udara, menyebabkan kanak-kanak terlalu takut untuk tinggal di rumah. Kebanyakan mereka enggan ditemu bual di hadapan kamera kerana bimbang akan tindak balas susulan.
"Tiada istilah menyerah kalah bagi kami," kata seorang warga Iran. "Kami tidak akan menyerah kalah walaupun seluruh dunia menyokong Amerika Syarikat dan Israel."
Seorang lagi berkata: "Kami mahukan keamanan. Kami sudah penat dengan perang, perang, perang."
Turki pada masa ini tidak menghadapi kemasukan pelarian secara besar-besaran seperti yang berlaku semasa perang saudara di Syria.
Pergerakan di sempadan juga bukan sehala sahaja.
Apabila Mediacorp melawat kawasan itu, ratusan orang dilihat menuju pulang ke Iran - kembali kepada keluarga, kerja atau urusan yang belum selesai walaupun berdepan risiko.
Aktiviti perdagangan juga terus berjalan, dengan kereta api kargo dan lori pengangkutan masih melalui kawasan pergunungan tersebut.
KESAN YANG DIRASAI
Kira-kira 100km dari sempadan terletaknya Van, bandar besar yang paling hampir.
Kawasan itu menempatkan sebilangan besar masyarakat Iran; banyak perniagaan di sana dimiliki oleh warga Iran.
Namun, peperangan memberi kesan nyata kepada ekonomi tempatan.
Sebagai contoh, kadar penginapan hotel merosot mendadak kerana bilangan pelawat dari Iran berkurangan.
"Harapan kami adalah agar perang ini berakhir segera," kata Cevdet Ozgokce, presiden Persatuan Agensi Pelancongan Turki bagi wilayah Timur Turki.
"Kami dalam industri pelancongan adalah antara sektor yang paling terjejas. Kami mempunyai kapasiti 30,000 katil di Van. Hotel yang beroperasi sepenuhnya tahun lepas, kini hampir kosong sepenuhnya."
Van juga merupakan titik transit penting, dengan lapangan terbang yang menghubungkan bandar itu ke Istanbul, iaitu hab antarabangsa utama.
Sementara itu, Turki mengutuk kedua-dua pihak dalam konflik tersebut dan negara itu sendiri turut terkena serangan peluru berpandu Iran.
Namun, bagi kebanyakan orang, Turki tetap menjadi pilihan yang lebih selamat berbanding bahaya yang mereka tinggalkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.