Penasihat AS temui Duta Turki, runding isu paderi yang cuba guling kerajaan Erdogan
Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat John Bolton bertemu Duta Turki di Amerika Syarikat, Serdar Kilic, bagi mencari penyelesaian berhubung kes penahanan seorang paderi yang didakwa terlibat dalam percubaan menggulingkan kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2016.

Gambar fail paderi Amerika, Andrew Brunson. (Gambar: AFP)
WASHINGTON: Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat John Bolton bertemu Duta Turki di Amerika Syarikat, Serdar Kilic, bagi mencari penyelesaian berhubung kes penahanan seorang paderi yang didakwa terlibat dalam percubaan menggulingkan kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2016, lapor agensi berita China Xinhua.
Kenyataan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders, menyebutkan Encik Bolton bertemu Encik Kilic di Rumah Putih "atas permintaan Duta Turki".
"Mereka membincangkan isu penahanan berterusan paderi Amerika, Andrew Brunson, dan keadaan hubungan Amerika-Turki," menurut kenyataan itu tanpa memberikan butiran lanjut.
Kenyataan itu dibuat ketika kedua-dua negara bertelingkah mengenai isu Brunson, yang diletak di bawah tahanan rumah sejak bulan lalu. Jika didapati bersalah, Brunson berdepan hukuman penjara 25 tahun.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (10 Ogos) mengatakan bahawa beliau sudah mengeluarkan arahan agar tarif ke atas keluli dan aluminium yang diimport dari Turki masing-masing digandakan sebanyak 50 peratus dan 20 peratus.
Amerika turut mengenakan sekatan terhadap dua menteri Turki berhubung kes sama pada Ogos.
Sebagai respons, Menteri Luar Turki berikrar untuk "membalas tindakan agresif Amerika dalam kes Brunson dengan segera" dan menggesa Washington mengubah keputusannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.