Penasihat pandemik gesa pemerintah Hong Kong mansuh peraturan pakai pelitup di tempat terbuka
HONG KONG: Hong Kong harus menimbangkan untuk memansuhkan peraturan memakai pelitup di kebanyakan tempat terbuka selepas musim sejuk, sambil mengekalkan syarat pemakaian pelitup dalam pengangkutan awam, hospital dan rumah jagaan.
Demikian digesa penasihat kanan pemerintah, seperti dinukil oleh South China Morning Post.
Profesor Ubat Pernafasan Universiti China, David Hui Shu-cheong, pada Sabtu (21 Jun), mengusulkan saranan tersebut melalui satu rancangan radio, sekali gus menarik perhatian bahawa sistem jagaan kesihatan seharusnya dilindungi buat masa ini daripada tekanan jangkitan COVID-19 dan kes-kes demam selesema musiman.
Saranannya itu sejajar dengan pengumuman Korea Selatan pada Jumaat (20 Jan) untuk menggugurkan peraturan pemakaian pelitup di kebanyakan tempat, menjadikannya negara terkini di Asia untuk melonggarkan langkah tersebut.
BACA:
"Memansuhkan peraturan pemakaian pelitup boleh dipertimbangkan selepas musim sejuk sekiranya situasi epidemik terus kekal stabil. Namun, ia tidak bermakna pelitup tidak akan dipakai langsung," kata Encik Hui, yang menasihatkan pihak berkuasa berhubung isu-isu pandemik sejak COVID-19 melanda bandar tersebut.
Tambahnya, apabila peraturan pemakaian pelitup dimansuhkan, orang ramai masih perlu dikehendaki memakai pelitup di "tempat-tempat berisiko tinggi" seperti pengangkutan awam, hospital, klinik dan rumah jagaan, mengikuti langkah Korea Selatan dan Singapura.
Syarat pemakaian pelitup merupakan salah satu langkah pandemik yang dikekalkan di Hong Kong selepas pihak berkuasa mengumumkan pemansuhan syarat kuarantin bagi pesakit COVID-19 mulai 30 Januari bagi melonggarkan lagi sekatan-sekatan yang diselaraskan dengan langkah tanah besar China untuk beralih dari dasar sifar COVID-19.
Encik Hui yang bersetuju dengan pemerintah, pada Sabtu berkata, peraturan pemakaian pelitup harus dikekalkan sewaktu musim demam selesema, sambil merujuk kepada penularan "dahsyat" baru-baru ini di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) yang menarik perhatian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Bukan seperti tahun-tahun sebelum ini, Hong Kong tidak mengalami sebarang penularan demam selesema musiman sejak Februari 2020 ketika orang ramai mula memakai pelitup disebabkan oleh COVID-19," menurut South China Morning Post yang menukil Encik Hui.
"Jika kita melonggarkan peraturan pemakaian pelitup lebih awal, lonjakan pada jumlah kes jangkitan yang tercetus akibat demam selesema atau penyakit pernafasan lain akan memberi tekanan luar biasa kepada sistem jagaan kesihatan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.