Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penasihat FDA AS sokong vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech bagi kanak-kanak

Sebuah panel pakar kesihatan pada Selasa (26 Okt) memberi sokongan memberangsangkan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) supaya meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Penasihat FDA AS sokong vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech bagi kanak-kanak

Vaksin Pfizer-BioNTech. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 27 Oct 2021 10:16AM Dikemas Kini : 27 Oct 2021 10:17AM

WASHINGTON: Sebuah panel pakar kesihatan pada Selasa (26 Okt) memberi sokongan memberangsangkan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) supaya meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun, sambil berkata bahawa manfaat daripada suntikan itu melebihi risikonya, lapor Reuters.

Keputusan itu satu langkah penting untuk memulakan program vaksinasi bagi sekitar 28 juta kanak-kanak, yang kebanyakannya sudah kembali ke sekolah.

Vaksin itu akan ditawarkan kepada kumpulan usia muda berkenaan seawal minggu depan. FDA tidak terikat pada nasihat pakar-pakar luaran, namun ia lazimnya berbuat demikian. 17 undian sokongan diberikan dengan 1 undian berkecuali.

Jika FDA meluluskan penggunaan vaksin bagi kumpulan usia berkenaan, sebuah panel penasihat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) akan bertemu pada minggu depan untuk mengesyorkan pentadbiran vaksin itu. Pengarah CDC kemudian akan memberikan kata putus.

Walaupun kes kanak-kanak jatuh sakit teruk atau meninggal dunia kerana COVID-19 jarang berlaku berbanding golongan dewasa, sesetengah daripada mereka mengalami komplikasi dan kes jangkitan dalam kalangan kanak-kanak belum divaksin semakin meningkat disebabkan oleh varian Delta yang mudah merebak.

Data dari Akademi Pediatrik Amerika menunjukkan lebih 500 kanak-kanak AS sudah meninggal dunia kerana COVID-19.

Ia adalah "pembunuh kelapan tertinggi bagi kanak-kanak dalam kumpulan usia itu sepanjang tahun lalu," kata Dr Amanda Cohn, seorang pakar vaksin pediatrik di CDC dan anggota di panel itu. "Penggunaan vaksin dapat mencegah berlaku kematian, mengelakkan kemasukan ke ICU dan menghalang kesan jangka panjang yang ketara kepada kanak-kanak."

Hanya segelintir negara lain, termasuk China, Cuba dan Amiriah Arab Bersatu sudah meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak dalam kumpulan usia tersebut dan golongan lebih muda.

Jika diluluskan, vaksin Pfizer-BioNTech mungkin satu-satunya vaksin yang akan ditawarkan kepada kumpulan usia itu di Amerika Syarikat buat masa ini.

Sumber : Reuters/TODAY/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan