Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penantian lebih 2 dekad: Anwar Ibrahim kini PM M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Penantian lebih 2 dekad: Anwar Ibrahim kini PM M'sia

(Gambar: AFP/POOL/Mohd Rasfan)

KUALA LUMPUR: Ia mengambil masa lima hari selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia untuk menghuraikan kemelut mengenai siapa yang akan memimpin negara itu.

Namun bagi Anwar Ibrahim, istiadat mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis (24 Nov), sekali gus mengakhiri tempoh penantian yang amat panjang.

AWAL KERJAYA POLITIKNYA

Dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Pulau Pinang, Encik Anwar menerima ijazah sarjana muda dalam Pengajian Melayu di Universiti Malaya.

Sebagai pemimpin belia Islam, beliau ditahan pada 1974 semasa tunjuk perasaan mahasiswa yang diadakan dengan sokongan para petani luar bandar, dan dipenjarakan selama 20 bulan.

Pada 1982, beliau menyertai mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dalam UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), iaitu parti komponen utama dalam perikatan Barisan Nasional.

Pada 1983, beliau dilantik sebagai Menteri Budaya, Belia dan Sukan, sebelum beralih ke jawatan Menteri Pertanian pada 1984 dan Menteri Pendidikan pada 1986.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Menteri Kewangan antara 1991 dengan 1998, sambil menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dari 1993. Namun, beliau tidak sehaluan dengan Dr Mahathir mengenai cara menangani krisis kewangan Asia pada 1997.

TEMPOH PENJARA

Encik Anuwar yang pernah dianggap sebagai bakal pengganti Dr Mahathir, bagaimanapun dipecat pada 1998. Beliau didakwa atas tuduhan liwat, iaitu satu jenayah di Malaysia. Langkah tersebut, disifatkan oleh beliau sebagai bertujuan untuk mamatikan kerjaya politiknya.

Beliau mengetuai ribuan tunjuk perasaan di Kuala Lumpur pada 20 September 1998, tetapi ditangkap beberapa jam kemudian di kediamannya.

Anwar dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun atas kesalahan rasuah pada 1999, dengan tambahan lagi sembilan tahun bagi kesalahan liwat pada 2000. Kedua-dua hukuman tersebut dijalankan serentak.

Encik Anwar dibebaskan pada 2004, hanya untuk dipenjara sekali lagi atas kesalahan meliwat pada 2015, dua tahun selepas memimpin pembangkang mencatat prestasi terbaik dalam pilihan raya, dengan memenangi undi popular buat kali pertama walaupun tidak dapat meraih kerusi majoriti di parlimen.

Beliau bagaimanapun kekal aktif sebagai ketua pembangkang semasa dalam penjara.

KEBANGKITAN POLITIK

Encik Anwar dan Dr Mahathir mengetepikan perbezaan mereka pada 2018, bersetuju untuk bekerjasama untuk menggulingkan parti pemerintah Barisan Nasional di tengah-tengah tuduhan rasuah yang meluas dalam kalangan para pemimpinnya.

Selepas meraih kemenangan, Dr Mahathir meminta pengampunan Agong bagi Encik Anwar dan berjanji untuk memberi beliau kuasa dalam dua tahun akan datang. Namun demikian, gabungan tersebut tumbang selepas hanya 22 bulan, menyebabkan Anwar dalam kedudukan yang tidak diinginkan.

Semasa PRU15, gabungan Pakatan Harapan (PH), yang diterajui Anwar memenangi jumlah kerusi tertinggi, namun tiada majoriti untuk membentuk kerajaan.

Pada 24 November, pelantikan Anwar disahkan di Istana Negara. Beliau dilantik menjadi Perdana Menteri atas budi bicara Agong, sekali gus mengakhiri penantian berdekad-dekad lamanya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan