Penampilan semula Anwar di Parlimen dapat reaksi positif anggota kabinet
Penampilan semula Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim ke Parlimen disambut baik dan mendapat reaksi positif daripada anggota Kabinet.
Gambar fail Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Penampilan semula Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim ke Parlimen disambut baik dan mendapat reaksi positif daripada anggota Kabinet.
Kegembiraan itu turut dikongsi Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang melahirkan rasa syukur atas 'kepulangan' Encik Anwar ke Parlimen hari ini (15 Okt) selepas kali terakhir tampil di Parlimen pada 2015 selaku Ketua Pembangkang.
"Alhamdulillah, saya gembira kerana dulu beliau (Anwar) dinafikan hak untuk bertanding. Sekarang beliau dah masuk balik ke Parlimen selepas mendapat keampunan atas dasar ‘miscarriage of justice’ (salah laksana keadilan).
“Bukan beliau mengaku kesalahan, tapi atas dasar ‘miscarriage of justice’," katanya ketika ditemui para wartawan di lobi Parlimen.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menyifatkan Encik Anwar mencipta sejarahnya sendiri apabila mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen hari ini (15 Okt).
"Ini satu perkara bersejarah. Semoga beliau dapat memainkan peranan sebagaimana yang beliau janjikan untuk mereformasikan Parlimen yang mana ia satu perkara yang kita masukkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH)," katanya.
Senada dengan Encik Muhyiddin, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Encik Mohamed Azmin Ali menyifatkan penyertaan semula Encik Anwar ke Parlimen akan merancakkan lagi institusi penggubal undang-undang tertinggi negara itu.
Katanya, Encik Anwar mampu memberikan pandangan bernas dalam mengukuhkan lagi dasar kerajaan PH.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.