Pemulihan ekonomi, keupayaan rakyat jadi daya tarikan pelabur luar, kata PM Anwar
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata bahawa pemulihan dan keberdayaan ekonomi yang pesat serta keupayaan rakyat memajukan negara menjadi tarikan untuk pelabur asing datang ke negara itu.
PM Anwar berucap di majlis perasmian Alamanda Berwajah Baru pada 23 Februari 2025. (Gambar: Bernama)
Kata beliau, syarikat dan pemimpin luar melihat Malaysia berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik serta kemasukan pelaburan yang tinggi, sedang negara lain bergelut untuk bangkit semula selepas pandemik COVID-19.
Dalam ucapan beliau di majlis perasmian Alamanda Berwajah Baru hari ini (23 Feb), Encik Anwar berkata, "Saya percaya kita ada keupayaan. Malaysia ini luar biasa. Mana ada negara di dunia yang masyarakatnya pelbagai kaum dan pelbagai agama tetapi boleh hidup dengan damai.
“Ada negara yang sudah kecundang sedikit, lemah dengan pelbagai skandal, kemudian datang COVID-19. Tetapi kita sekarang mencatatkan pertumbuhan yang baik, (menerima) pelaburan yang tinggi, menjadi (destinasi) pusat data dan hab semikonduktor."
Encik Anwar turut menekankan keupayaan Malaysia menarik pelabur asing terletak pada keupayaan rakyat bersama-sama dalam memajukan dan memartabatkan nama negara.
“Sebab apa (pelaburan datang)? Sebab mereka melihat keupayaan Malaysia, keupayaan seluruh rakyat.
“Oleh itu, kita bagi penghargaan, penghargaan kepada pemuda, penghargaan kepada pengurusan, penghargaan kepada peniaga, penghargaan kepada tukang cuci,” kata beliau.
PM Anwar turut mengatakan bahawa Malaysia menjangkakan lebih ramai pemimpin luar termasuk Presiden China dan Afrika Selatan untuk membuat lawatan selepas ini.
“Mungkin bila Ramadan itu, tangguh sekejap (lawatan pemimpin negara) dan akan sambung semula selepas April,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.