Pemindahan pertama 2 paru-paru secara serentak berjaya dijalankan di Vietnam
Sekumpulan doktor Hospital Viet Duc di Hanoi mengumumkan bahawa mereka berjaya melakukan secara serentak, pemindahan pertama dua paru-paru daripada seorang penderma yang diisytihar sebagai mati otak kepada seorang pesakit barah.
(Gambar hiasan: Tauseef Mustafa/AFP)
HANOI: Sekumpulan doktor Hospital Viet Duc di Hanoi mengumumkan bahawa mereka berjaya melakukan secara serentak, pemindahan pertama dua paru-paru daripada seorang penderma yang diisytihar sebagai mati otak kepada seorang pesakit barah.
Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), sejauh ini, tiga pemindahan paru-paru berjaya dijalankan di negara itu. Namun, pembedahan kali ini merupakan yang pertama di mana para doktor dari negara itu melakukan pemindahan dua paru-paru secara serentak.
Ini juga adalah kali pertama para doktor Vietnam mampu melakukan pemindahan rumit itu tanpa bantuan pakar asing, kata pengarah hospital berkenaan, Tran Binh Giang.
Menurut ketua Jabatan Kardiovaskular dan Pembedahan Toraks hospital itu, Dr Nguyen Huu Uoc, pemindahan paru-paru dianggap sebagai salah satu prosedur paling rumit.
Setakat ini, Vietnam melakukan sejumlah 3,200 pembedahan pemindahan buah pinggang, 105 pembedahan pemindahan hati, 27 pembedahan pemindahan jantung dan hanya tiga kes bagi pemindahan paru-paru.
Tahun ini, pusat itu bekerjasama dengan syarikat penerbangan Vietnam Airlines untuk mengangkut tisu dan organ secara percuma.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.