Pemindahan ibu kota Indonesia ancam orang asli
Ribuan penduduk orang asli mungkin kehilangan tanah warisan daripada nenek moyang mereka di pulau Borneo, apabila kawasan hutan terbabit dibersihkan bagi projek pembangunan ibu kota baru Indonesia.
(Gambar: AFP/Adek Berry)
BANGKOK: Ribuan penduduk orang asli mungkin kehilangan tanah warisan daripada nenek moyang mereka di pulau Borneo, apabila kawasan hutan terbabit dibersihkan bagi projek pembangunan ibu kota baru Indonesia.
Demikian menurut kumpulan-kumpulan hak asasi manusia pada Jumaat (30 Ogos).
Awal minggu ini, Presiden Joko Widodo dilaporkan berkata, ibu kota baru Indonesia di wilayah Kalimantan Timur di pulau Borneo, dijangka mula berpindah pada 2024.
Langkah memindahkan ibu kota itu diambil selepas Jakarta didapati terlalu padat dan mengalami masalah pencemaran yang teruk, selain dilaporkan semakin tenggelam, berbanding Borneo yang terkenal dengan hutan, orang utan dan beruang matahari.
Menurut Kumpulan Hak Asasi Minoriti Antarabangsa (MRGI), orang asli kaum Dayak yang tinggal di Kalimantan, kini dilaporkan terperangkap dengan usaha mempertahankan tanah warisan mereka, dan hutan daripada kegiatan pembalakan, perlombongan serta perladangan kelapa sawit.
“Kaum Dayak secara berterusan menjadi mangsa kemusnahan alam sekitar dan langkah ini secara fizikalnya akan lebih memusnahkan alam sekitar," kata pengarah eksekutif MRGI, Joshua Castellino..
“Keputusan untuk berpindah dari Jakarta atas alasan pencemaran dan kesesakan bukan satu tindakan wajar, bagi membolehkan seseorang itu masuk ke ‘halaman’ orang lain, kerana perkara yang sama boleh berlaku," tambah beliau.
“Justeru, rundingan perlu dilakukan bagi mengenal pasti kesan pemindahan itu.”
Presiden Jokowi berkata, pemerintah Indonesia sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan berhubung kesan pemindahan berkenaan.
Menteri Perancangan Indonesia, Bambang Brodjonegoro, berkata pihak berkuasa sudah menjalankan penilaian antropologi, dan proses pengambilan tanah akan bermula pada 2020.
Namun, jurucakap kumpulan sokongan Pakatan Orang Asli Asia, Kittisak Rattanakrajangsri, berkata orang asli di Kalimantan Timur tidak diajak berunding dan bakal kehilangan tanah dan mata pencarian bagi memberi laluan kepada pembinaan ibu kota baru Indonesia itu.
“Mereka sudah tinggal di kawasan itu selama beberapa generasi. Penempatan semula bukanlah satu langkah penyelesaian terbaik, kerana mereka akan kehilangan sumber pendapatan jika dipindahkan dari tanah tradisi,” katanya kepada Yayasan Thomson Reuters.
Presiden Jokowi sebelum ini memberi jaminan untuk memulangkan tanah seluas 12.7 juta hektar kepada orang asli, tetapi proses itu mengambil masa yang lama, menurut para aktivis.
Sementara itu, pihak berkuasa berkata, mereka sudah menyediakan tanah seluas 180,000 hektar milik pemerintah di Kalimantan Timur untuk projek tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.