Skip to main content

Dunia

Pemimpin ulung Iran muncul buat kali pertama sejak perang dengan Israel

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin ulung Iran muncul buat kali pertama sejak perang dengan Israel

Ayatollah Ali Khamenei semasa menghadiri majlis Hari Asyura di Teheran. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Jul 2025 04:11PM Dikemas Kini : 06 Jul 2025 04:12PM
TEHRAN: Pemimpin ulung Iran Ayatollah Ali Khamenei muncul secara terbuka buat kali pertama pada Sabtu (6 Jul) sejak berakhirnya konflik bersenjata dengan Israel, apabila beliau menghadiri majlis Hari Asyura di Tehran, menurut laporan Anadolu Ajansi (AA).

Ayatollah Ali Khamenei sebelum ini tidak kelihatan dalam tiga malam sambutan awal Muharram – permulaan tahun baharu Hijrah – yang diadakan di kediamannya di Jalan Palestin, satu perhimpunan tahunan yang biasanya disertai beliau.

Rakaman yang dimuat naik oleh akaun rasmi pemimpin ulung itu di platform X menunjukkan kehadiran Ayatollah Ali Khamenei disambut oleh para hadirin ketika beliau melangkah masuk ke dewan utama. 

Penampilan beliau dibuat selepas konflik berdarah selama 12 hari antara Iran dan Israel bulan lalu, ketika Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Tel Aviv dilaporkan mengeluarkan ancaman untuk membunuh Ayatollah Ali Khamenei.

Sepanjang tempoh serangan terhadap Iran, Ayatollah Ali Khamenei tetap tampil menyampaikan beberapa ucapan umum. 

Konflik Iran-Israel tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas kemudahan tentera, nuklear dan awam di Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya 935 orang.

Kementerian Kesihatan Iran melaporkan seramai 5,332 orang turut cedera dalam serangan itu.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas beberapa sasaran yang mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan lebih 3,400 yang lain, menurut data.

Amerika Syarikat kemudiannya membedil beberapa kemudahan nuklear utama Iran, termasuk di Fordow, Natanz dan Isfahan, yang memburukkan lagi ketegangan.

Konflik berakhir dengan pelaksanaan gencatan senjata pada 24 Jun lalu.
Sumber : AFP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita