Pemimpin Thailand dan Kemboja lawat sempadan dipertikai, sedang ketegangan memuncak
Pemimpin Thailand dan Kemboja melawat bahagian berbeza di kawasan sempadan darat yang dipertikaikan pada Khamis (26 Jun).
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, bercakap dengan seorang anggota tentera Thailand di Wilayah Sa Kaeo, Thailand pada 26 Jun 2025. (Gambar: Pejabat Jurucakap Kerajaan Thailand melalui AP)
Lawatan itu dibuat sedang ketegangan antara kedua-dua negara terus memuncak menyusuli pertikaian wilayah yang berlaku.
Hubungan yang kian memburuk antara dua negara itu tercetus akibat pertempuran bersenjata singkat yang berlaku di kawasan sempadan lewat bulan lalu, mengorbankan seorang askar Kemboja.
Kejadian itu disusuli dengan beberapa langkah balas daripada kedua-dua negara, termasuk pengerahan tentera serta penggantungan semua import bahan api dan gas dari Thailand oleh Kemboja.
Pertikaian tersebut menambah tekanan terhadap Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, yang sedang bergelut untuk memulihkan ekonomi yang lembap dan mengekalkan perpaduan dalam gabungan pemerintahnya yang rapuh, sambil menghadapi bantahan dan undi tidak percaya di Parlimen.
Sebaik tiba di bandar sempadan Aranyaprathet di wilayah Sa Kaeo pada pagi Khamis, yang terletak bertentangan dengan Poipet di Kemboja, Cik Paetongtarn disambut sekumpulan penyokong, dengan sebahagian daripada mereka memegang sepanduk besar dengan tulisan "Love You Prime Minister Paetongtarn".
Perdana Menteri Thailand itu berkata tujuan lawatannya adalah untuk meninjau tindakan keras yang diambil terhadap jenayah rentas negara yang dijalankan dan menilai kesan sekatan di sempadan.
Ini termasuk langkah Thailand yang menghentikan semua kemasukan kenderaan, pelancong dan peniaga ke Kemboja melalui lintasan sempadan darat.
“Kami mahu melihat kesan daripada dasar ini dan apakah yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membantu, itulah tujuan utama lawatan hari ini,” kata Cik Paetongtarn dalam pertemuannya dengan para pegawai.
Awal minggu ini, Perdana Menteri Thailand mengaitkan peningkatan sindiket penipuan online haram dengan Kemboja, namun pihak berkuasa Kemboja menafikan sebarang pelibatan.
Di satu lagi bahagian sempadan, mantan Premier Kemboja, Hun Sen, melawat anggota tentera dan pegawai di wilayah Oddar Meanchey yang bersempadan dengan wilayah Surin di Thailand, juga pada pagi Khamis.
Rakaman media tempatan menunjukkan Encik Hun Sen yang berpakaian seragam tentera tiba dengan menaiki helikopter sebelum bertemu dengan para pegawai di kawasan tersebut.
Kedua-dua pemimpin sebelum ini menikmati hubungan peribadi yang baik, diperkukuh oleh hubungan rapat antara Encik Hun Sen dan bapa Cik Paetongtarn yang berpengaruh, mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.
Namun, dalam satu perbualan telefon yang bocor bersama Encik Hun Sen, Cik Paetongtarn kedengaran merendahkan seorang pegawai kanan tentera Thailand, sekali gus meningkatkan tekanan politik terhadap kerajaan Thailand.
Perdana Menteri Thailand sudah memohon maaf atas kejadian panggilan bocor itu, tetapi perkara tersebut dijadikan alasan oleh parti Bhumjaithai untuk keluar daripada gabungan pemerintah minggu lalu.
Parti Bhumjaithai turut menyatakan awal minggu ini bahawa pihaknya akan mengemukakan usul undi tidak percaya di parlimen terhadap Perdana Menteri Paetongtarn dan barisan kabinetnya berhubung panggilan tersebut.
Cik Paetongtarn juga kini berdepan penelitian kehakiman selepas sekumpulan senator mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Perlembagaan dan badan pencegahan rasuah negara supaya menyiasat tingkah lakunya secara menyeluruh.
Keputusan daripada mana-mana badan tersebut boleh menyebabkan beliau disingkirkan daripada jawatannya.
Kumpulan antikerajaan turut merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan bermula Sabtu (28 Jun) bagi menuntut peletakan jawatannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.