Skip to main content

Dunia

Pemimpin tertinggi Rohingya ditembak mati di kem pelarian Bangladesh

Pemimpin tertinggi masyarakat Rohingya Mohib Ullah maut pada Rabu (29 Sep) selepas ditembak mati penyerang-penyerang yang tidak dikenali di sebuah kem pelarian Cox's Bazar di Bangladesh, menurut para pegawai. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin tertinggi Rohingya ditembak mati di kem pelarian Bangladesh

Mohib Ullah, pemimpin Persatuan Keamanan dan Hak Asasi Manusia Arakan Rohingya, bercakap di telefon di kem Kutupalong di Cox's Bazar, Bangladesh, pada 7 Apr 2019. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 30 Sep 2021 10:55AM Dikemas Kini : 30 Sep 2021 10:56AM

COX'S BAZAR: Pemimpin tertinggi masyarakat Rohingya Mohib Ullah maut pada Rabu (29 Sep) selepas ditembak mati penyerang-penyerang yang tidak dikenali di sebuah kem pelarian Cox's Bazar di Bangladesh, menurut para pegawai.

Jurucakap polis Cox's Bazar, Rafiqul Islam berkata Mohib sedang bercakap dengan para pemimpin pelarian lain di luar pejabatnya selepas selesai solat Maghrib sekitar jam 8.00 malam apabila sekurang-kurangnya empat penyerang datang ke situ dan menembaknya sehingga mati.

"Empat hingga lima penyerang tidak dikenali menembaknya dari jarak dekat. Beliau disahkan meninggal dunia di sebuah hospital MSF di kem itu," katanya.

Menurut Rafiqul, polis dan Batalion Polis Bersenjata, yang ditugaskan menjaga keselamatan di 34 kem pelarian Rohingya di negara itu, mengetatkan kawalan dengan mengerahkan beratus-ratus lagi pegawai bersenjata.

Sejauh ini, belum ada sesiapa yang ditangkap menyusuli serangan itu, kata Rafiqul.

"Kami melakukan serbuan di kawasan itu," katanya sambil menambah Mohib tidak pernah memberitahu polis mengenai sebarang ancaman yang diterimanya daripada mana-mana kumpulan.

Sementara itu, jurucakap Persatuan Keamanan dan Hak Asasi Manusia Arakan Rohingya (ARPSH), Mohammad Nowkhim berkata serangan berlaku ketika Mohib sedang berbual dengan para pemimpin Rohingya lain di luar pejabat ARPSH di Kutupalong - petempatan pelarian terbesar di dunia - apabila seorang penyerang tidak dikenali menembaknya sekurang-kurangnya tiga kali.

"Beliau berlumuran darah. Beliau meninggal dunia ketika dibawa ke sebuah hospital berdekatan," kata Mohammad sambil menambah ramai pemimpin Rohingya lain bersembunyi selepas pembunuhan Mohib.

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab setakat ini, namun seorang pemimpin Rohingya memberitahu AFP bahawa Mohib dibunuh oleh kumpulan pelampau Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA), yang merupakan dalang beberapa serangan ke atas pondok keselamatan Myanmar sejak beberapa tahun lalu.

"Ini kerja ARSA," katanya.

Mohib, 48 tahun, muncul sebagai pemimpin awam utama etnik minoriti Muslim dianiaya apabila lebih 740,000 kaum Rohingya mencari suaka di kem-kem di Bangladesh. Ini selepas tindakan keras tentera Myanmar di kampung mereka di wilayah Rakhine pada Ogos 2017.

Mohib menubuhkan ARPSH di kem Bangladesh beberapa bulan selepas kemasukan berduyun-duyun para pelarian. Ia membantu menyiasat pembunuhan yang dilakukan oleh tentera Myanmar dan militia Buddha semasa tindakan keras itu. 

Sumber : AFP/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita