Skip to main content

Dunia

Pemimpin tertinggi Iran Mojtaba Khamenei cedera: Setiausaha Pertahanan Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin tertinggi Iran Mojtaba Khamenei cedera: Setiausaha Pertahanan Amerika
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth berucap di Sidang Puncak "Perisai Amerika" di Miami, Florida, Amerika Syarikat, pada 7 Mac 2026. (Gambar fail: Reuters/Kevin Lamarque)
Diterbitkan : 13 Mar 2026 11:42PM Dikemas Kini : 13 Mar 2026 11:43PM
WASHINGTON: Pemimpin Tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei cedera dan kemungkinan mengalami kecacatan, kata Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth pada Jumaat (13 Mac), sekali gus mempersoalkan keupayaan Mojtaba Khamenei untuk mentadbir selepas hampir dua minggu Amerika Syarikat dan Israel menyerang Iran.

Tiada gambar Mojtaba Khamenei dikeluarkan sejak serangan Israel dilancarkan pada permulaan perang, yang mengorbankan sebahagian besar keluarganya, termasuk bapa dan isterinya.

Komen pertamanya datang dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh seorang penyampai televisyen pada Khamis.

Dalam kenyataan itu, beliau berikrar untuk menutup Selat Hormuz dan menyeru negara-negara jiran untuk menutup pangkalan Amerika Syarikat di wilayah mereka atau mengambil risiko Iran menyasarkan mereka.

"Kita tahu pemimpin baharu ... cedera dan mungkin mengalami kecacatan.

"Beliau mengeluarkan satu kenyataan semalam. Kenyataan yang lemah, sebenarnya, tetapi tiada suara, dan tiada video. Ia adalah kenyataan bertulis," kata Encik Hegseth pada satu taklimat.

"Iran mempunyai banyak kamera dan banyak perakam suara. Mengapa kenyataan bertulis? Saya rasa anda tahu mengapa. Bapanya - maut. Dia takut, dia cedera, dia melarikan diri dan dia tidak mempunyai legitimasi."

Seorang pegawai Iran memberitahu Reuters pada Rabu bahawa pemimpin tertinggi yang baru dilantik itu cedera ringan tetapi terus menjalankan tugas, selepas televisyen pemerintah menggambarkannya sebagai cedera akibat perang.

Encik Hegseth disertai oleh Jeneral Dan Caine, pengerusi Ketua Turus Bersama, pada satu taklimat di mana mereka menekankan serangan ketenteraan Amerika Syarikat untuk menghapuskan keupayaan peluru berpandu dan dron Iran serta tentera lautnya.

Namun demikian, meskipun serangan Amerika Syarikat dilakukan ke atas Iran, lebih banyak dron Iran dilaporkan terbang ke Kuwait, Iraq, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Oman.

Di samping itu, empat anggota tentera Amerika Syarikat terbunuh pada Jumaat apabila sebuah pesawat pengisian bahan api tentera Amerika terhempas di barat Iraq, dalam satu kejadian yang dikatakan Amerika melibatkan pesawat lain tetapi bukan akibat serangan.

Sejak Washington dan Israel mula melakukan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, seramai 11 tentera Amerika Syarikat terbunuh.
 
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita