Pemimpin syarikat teknologi gesa G20 bina pusat data, beza pandangan mengenai risiko AI
Para pemimpin syarikat teknologi utama Amerika Syarikat, termasuk ketua Nvidia Jensen Huang dan Sam Altman dari OpenAI, pada Rabu (2 Sep) menggesa para menteri G20 supaya menerima pakai kecerdasan buatan (AI) dan membangunkan pusat-pusat data yang diperlukan untuk menyokong teknologi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang berucap di Sidang Puncak Menteri Inovasi G20 sedang Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Howard Lutnick mendengar, di Chapel Hill, North Carolina, Amerika Syarikat, pada 2 September 2026. (Gambar: REUTERS/Jonathan Drake)
Para eksekutif itu berucap pada hari kedua mesyuarat G20 di North Carolina, di mana pentadbiran Encik Trump menghimpunkan tokoh-tokoh utama industri AI untuk membentangkan visi mereka kepada para menteri dari ekonomi-ekonomi utama dunia.
"Pada akhirnya, setiap negara perlu mengakui bahawa (AI) adalah prasarana, sama seperti air, jalan raya, elektrik dan internet," kata Encik Huang kepada para menteri.
"Setiap negara perlu membangunkan prasarana supaya anda dapat menyokong ekonomi tempatan masing-masing," kata beliau.
Nvidia merupakan syarikat utama di sebalik perkembangan pesat AI generatif, yang melonjakkan nilainya sehingga menjadi syarikat tersenarai awam paling bernilai di dunia.
Unit pemprosesan grafik syarikat tersebut, yang ditempatkan di pusat-pusat data yang sedang dibangunkan di merata dunia, merupakan komponen penting untuk melatih model AI.
Kemudahan-kemudahan sedemikian menyediakan "keupayaan intelektual digital untuk menyokong para penyelidik, pelajar, masyarakat, industri dan syarikat pemula anda," kata Encik Huang.
Namun, pusat-pusat data menjadi isu politik yang hangat di Amerika Syarikat, dengan banyak masyarakat setempat membantah pembinaannya kerana bimbang tentang kesannya terhadap kadar bayaran elektrik.
Encik Huang turut menolak tanggapan bahawa AI mengancam peluang pekerjaan.
"Pandangan bahawa semua pekerjaan akan dihapuskan atau lenyap begitu sahaja - itu karut," kata beliau.
Menurut beliau, pekerjaan akan ditakrifkan semula dan bukannya dihapuskan.
"Tugas-tugas akan diautomasikan, tetapi tujuan pekerjaan kita tetap sama," kata beliau.
Mencerminkan kebimbangan orang ramai, mesyuarat di kampus Universiti North Carolina itu berdepan bantahan sekitar 100 hingga 200 orang terhadap perkembangan pesat AI.
Encik Huang memberi amaran paling keras kepada pemerintah yang terlalu memberi tumpuan kepada risiko teknologi tersebut.
"Hasil paling buruk adalah jika anda tidak memanfaatkannya dan akhirnya ketinggalan," kata beliau, sambil menambah bahawa sesebuah negara akan terjejas jika para pemimpinnya "bercakap tentang teknologi tersebut dengan rasa takut dan tidak pasti."
Sesi beliau dikendalikan Setiausaha Perdagangan Amerika Howard Lutnick, yang menyifatkan Encik Huang sebagai "khazanah Amerika".
"KEBIMBANGAN ADA ASASNYA"
Encik Altman, yang berucap dalam satu lagi sesi, mengambil pendekatan yang kurang mendesak berhubung pusat data.
"Sebahagian daripada anda akan memilih untuk membina pusat-pusat data. Sebahagian lagi akan memilih untuk menyewa pusat data (daripada) pihak lain kerana anda tidak mahu pusat data dibina di negara anda," kata beliau. "Saya rasa semua itu tidak menjadi masalah."
Namun, menurut ketua OpenAI itu, penggunaan AI bukanlah satu pilihan. Beliau membandingkan negara yang enggan menggunakan AI dengan negara yang enggan menggunakan elektrik seabad lalu.
"Ia tidak boleh dirunding. Anda perlu menggunakannya," kata Encik Altman. "Nilainya kepada sesebuah negara terlalu besar untuk diabaikan."
Beliau bagaimanapun mengambil nada lebih berhati-hati berbanding Encik Huang berhubung risiko AI.
"Kebimbangan tersebut ada asasnya. Kebimbangan membantu kita menjangkakan masalah," kata Encik Altman, sambil membuat perbandingan dengan langkah-langkah keselamatan kebakaran yang dibangunkan selepas kebakaran memusnahkan bandar-bandar.
Beliau turut memberi amaran mengenai risiko kekayaan yang tertumpu kepada segelintir pihak, sambil mengatakan bahawa OpenAI tidak mahu menjadi satu-satunya syarikat dalam bidang tersebut atau "membolot semua nilai" yang dihasilkan.
DETIK 'GOLDILOCKS'
Para menteri yang menghadiri mesyuarat tersebut pula mengambil pendekatan lebih berhati-hati.
Menteri Sains dan Teknologi Britain Chris McDonald memberitahu AFP bahawa tiada siapa mempertikaikan peluang yang digambarkan para eksekutif tersebut. Namun, katanya, "jelas sekali mereka yang menerajui syarikat mempunyai tanggungjawab yang berbeza daripada mereka yang mentadbir negara."
Britain sedang berusaha mempercepat penggunaan AI sambil membina keyakinan orang ramai terhadap teknologi tersebut, kata beliau, sambil memberi amaran bahawa mengabaikan salah satu daripadanya boleh menimbulkan masalah.
"Kita tidak perlu memilih antara perkara seperti perlindungan harta intelek dengan AI, atau antara pertumbuhan ekonomi dengan perkembangan AI. Kita perlu mencari titik keseimbangan yang membolehkan kedua-duanya dicapai," kata Encik McDonald.
"Bubur tidak boleh terlalu panas atau terlalu sejuk. Ia perlu tepat pada suhunya, dan itu memerlukan pertimbangan," tambah beliau, sambil menyifatkannya sebagai detik 'Goldilocks'.
Britain belum menyaksikan tentangan terhadap projek sedemikian pada tahap yang kini dihadapi di Amerika, kata Encik McDonald. Namun, beliau memberi amaran supaya tidak menganggap bahawa keadaan tersebut akan kekal sedemikian, sambil merujuk kepada tentangan masyarakat Britain terhadap projek hidrogen dan kegiatan pemecahan hidraulik atau 'fracking'.
"Kita perlu benar-benar berhati-hati untuk memastikan masyarakat setempat bersama kita," kata beliau. "Ini bukan soal menjadi penyokong tegar teknologi tersebut; sebaliknya, kita perlu bersikap praktikal dan pragmatik."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.