Skip to main content

Dunia

Pemimpin sementara Bangladesh letak jawatan susuli kemenangan pemerintah baharu

Pemimpin interim Bangladesh, Muhammad Yunus, mengumumkan peletakan jawatannya bagi memberi laluan kepada pemerintah baharu yang dipilih dalam pilihan raya umum yang berlangsung beberapa hari lalu, lapor Astro Awani.
Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin sementara Bangladesh letak jawatan susuli kemenangan pemerintah baharu
Muhammad Yunus melambaikan tangan semasa berjalan keluar dari pusat pengundian sempena pilihan raya parlimen nasional di Dhaka, Bangladesh. (Gambar: AP)
DHAKA: Pemimpin interim Bangladesh, Muhammad Yunus, mengumumkan peletakan jawatannya bagi memberi laluan kepada pemerintah baharu yang dipilih dalam pilihan raya umum yang berlangsung beberapa hari lalu, lapor Astro Awani.

Dalam ucapan perpisahan yang disiarkan kepada rakyat, tokoh berusia 85 tahun itu berkata pemerintah sementara pimpinannya “akan berundur” sebagai tanda menghormati mandat rakyat, sambil memuji proses pilihan raya sebagai satu kejayaan demokrasi.

Encik Yunus, penerima Hadiah Nobel Keamanan, kembali daripada pengasingan sukarela pada Ogos 2024 untuk mengetuai pemerintah sementara selepas kebangkitan mahasiswa menggulingkan pemerintah mantan Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Bangladesh kemudiannya mengadakan pilihan raya umum pada 12 Februari, yang menyaksikan Bangladesh Nationalist Party (BNP) pimpinan Tarique Rahman memperoleh kemenangan besar.

Encik Tarique merupakan pewaris keapda salah satu dinasti politik paling berpengaruh di negara itu dan dijangka mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Selasa (17 Feb).

Gabungan pimpinan BNP memenangi sekurang‑kurangnya 212 daripada 300 kerusi Parlimen, sekali gus memberikan mandat yang selesa untuk membentuk pemerintah.

Parti Jamaat-e-Islami muncul sebagai pembangkang utama dengan 77 kerusi, manakala parti Awami League pimpinan Cik Hasina tidak dibenarkan untuk bertanding.

Pada masa yang sama, rakyat Bangladesh turut meluluskan rangka reformasi demokratik melalui satu referendum kebangsaan. Dokumen komprehensif itu, dikenali sebagai “Piagam Julai”, lahir menyusuli tunjuk perasaan para pelajar dan mencadangkan beberapa perubahan utama, termasuk:
 
  • Had penggal perdana menteri,
  • Penubuhan Dewan Negara,
  • Pengukuhan kuasa presiden, dan
  • Peningkatan kebebasan badan kehakiman.


Piagam tersebut menjadi asas agenda peralihan yang diperkenalkan Encik Yunus selepas kejatuhan pemerintah terdahulu.

Referendum turut menetapkan bahawa pelaksanaannya adalah mengikat bagi mana‑mana parti yang memenangi pilihan raya.

Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita