Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin PN bertegas kes rasuah Jana Wibawa bermotif politik

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin PN bertegas kes rasuah Jana Wibawa bermotif politik

Para penyokong Muhyiddin Yassin hadir di hadapan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis (9 Mac). (Gambar: Agensi berita)

PUTRAJAYA: Para pemimpin pembangkang Malaysia, Perikatan Nasional (PN), mengulangi dakwaan bahawa tindakan yang dikenakan ke atas mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bermotif politik.

Mereka membuat kenyataan itu kepada pihak media di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis (9 Mac).

Ini selepas mereka menghantar Encik Muhyiddin, yang juga merupakan Pengerusi PN, ke ibu pejabat SPRM sekitar 11.15 tengah hari tadi.

Kehadiran Encik Muhyiddin ke SPRM bagi memberi keterangan, diiringi ratusan penyokong dan Ahli Parlimen PN, yang tiba seawal 9.00 pagi.
Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, yang juga merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat Malaysia, bertegas tindakan dikenakan ke atas presiden parti beliau itu bermotifkan politik.

"Apa yang kami percaya adalah Presiden kami disoal berdasarkan penganiayaan politik. Beliau tidak melakukan sebarang kesalahan," ujar beliau.

Encik Hamzah menambah bahawa Bersatu akan meneruskan Perhimpunan Agung parti pada hujung minggu ini meskipun beberapa anggota parti terpalit dengan siasatan rasuah Jana Wibawa itu.

Para anggota Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang juga merupakan salah satu parti komponen PN, turut hadir memberikan sokongan kepada Encik Muhyiddin.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Mat berkata: "Tuduhan ini seperti satu helah untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu-isu lebih besar iaitu keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) terhadap UMNO."
UMNO dibenarkan RoS untuk meneruskan proses pemilihan parti itu tanpa dua jawatan utama dipertandingkan.

SAYA TIDAK CAMPUR TANGAN: PM ANWAR

Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak campur tangan dalam urusan SPRM yang melibatkan Encik Muhyiddin.

Beliau berkata tindakan SPRM memanggil Encik Muhyiddin untuk siasatan adalah di bawah bidang kuasa agensi berkenaan walaupun semua agensi termasuk Pejabat Peguam Negara diarahkan untuk melihat kepada semua kes yang berkaitan rasuah.

“Tengok kes, apa pendakwaannya, apa tuduhannya, belum tahu apa keputusan. Setakat ini hanya beliau (Muhyiddin) dipanggil tetapi untuk mengatakan semua kes yang kita ambil (tindakan) itu ada motif politik itu maknanya tidak bolehlah tangkap, maknanya kes rasuah lain yang besar-besar semua lepas.

"Sebab itu saya kata kena lihat dulu ada kes ke tidak. Ini urusan SPRM sampai sekarang saya tidak tahu apa akhirnya,” katanya kepada pihak media.
PM Anwar juga menegaskan semua kes harus dilihat satu persatu untuk melihat sama ada wujud pendakwaan politik seperti yang didakwa segelintir pihak atau berdasarkan fakta dalam memastikan Malaysia bersih daripada amalan rasuah.

TINDAKAN TEGAS DIPERLUKAN BAGI KESTABILAN: PENGANALISIS

Dalam satu wawancara bersama BERITAmediacorp sebelum ini, Pengkaji Sosiopolitik Universiti Malaya Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berpendapat Kerajaan Perpaduan Malaysia perlu mengambil tindakan lebih tegas dengan segera bagi melawan perang persepsi, khususnya retorik perkauman yang dimainkan PN, dan isu-isu rasuah.

Beliau berkata: "Saya rasa ada lagi banyak apa yang dikatakan fitnah-fitnah disebarkan di media sosial, dakwaan-dakwaan semasa kempen PRU15 masih lagi tidak ada diberikan perhatian dan tindakan tegas oleh Kerajaan Perpaduan."

Langkah tegas yang segera, menurut Prof Awang Azman, amat penting demi memastikan Kerajaan Perpaduan Malaysia dapat bertahan sehingga akhir penggal.
Suhu politik di Malaysia dijangka kekal panas dengan skandal rasuah terbaru ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan