Skip to main content

Dunia

Pemimpin kanan Khmer Rouge akan buat rayuan terhadap sabitan genosid

Pemimpin kanan Khmer Rouge terakhir yang masih hidup akan mengemukakan rayuan minggu depan terhadap hukuman penjara seumur hidup atas peranannya dalam genosid atau penghapusan kaum yang dilaksanakan rejim itu di Kemboja lebih empat dekad lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin kanan Khmer Rouge akan buat rayuan terhadap sabitan genosid

Gambar fail 16 Nov 2018 menunjukkan bekas ketua negara rejim Khmer Rouge, Khieu Samphan. (Gambar: AFP/ECCC/Nhet Sok Heng)

Diterbitkan : 12 Aug 2021 07:20PM Dikemas Kini : 12 Aug 2021 07:29PM

PHNOM PENH: Pemimpin kanan Khmer Rouge terakhir yang masih hidup akan mengemukakan rayuan minggu depan terhadap hukuman penjara seumur hidup atas peranannya dalam genosid atau penghapusan kaum yang dilaksanakan rejim itu di Kemboja lebih empat dekad lalu.

Khmer Rouge, diketuai oleh "Abang Nombor 1" Pol Pot, yang bertanggungjawab atas kematian hingga dua juta rakyat Kemboja dari 1975 hingga 1979 disebabkan lebih kerja, kebuluran dan pembunuhan beramai-ramai.

Bekas ketua negara rejim itu, Khieu Samphan, 90 tahun, pada Isnin (16 Ogos) akan mencabar sabitan 2018 atas penghapusan kaum terhadap etnik minoriti Vietnam.

Dia dihukum bersama "Abang Nombor 2" Nuon Chea dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai dan banyak jenayah lain, termasuk kahwin paksa dan rogol.

Kedua-dua lelaki itu sebelumnya dijatuhkan hukuman seumur hidup oleh mahkamah yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2014 bagi jenayah terhadap kemanusiaan kerana memindahkan dengan paksa sekitar dua juta rakyat Kemboja dari Phnom Penh ke kem buruh luar bandar pada 1975.

Nuon Chea mati pada 2019, meninggalkan Khieu Samphan seorang saja pemimpin Khmer Rouge yang masih hidup untuk mencabar keputusan penting itu.

Pasukan pembelaan Khieu Samphan telah meminta Sidang Luar Biasa di Mahkamah Kemboja (ECCC) untuk membatalkan keputusan tersebut.

"Kami akan meminta mahkamah membebaskan Khieu Samphan dari sabitan penghapusan kaum itu," kata peguamnya Kong Sam Onn kepada AFP pada Khamis (12 Ogos).

Jurucakap Tribunal Neth Pheaktra berkata, perbicaraan akan berlangsung dari Isnin hingga Khamis dan ekoran langkah sekatan COVID-19, Khieu Samphan dan pasukan pembelaannya akan duduk dalam bilik yang berasingan dari hakim yang akan berada di ruang sidang utama.

Khieu Samphan dijadual memberi keterangan, tambahnya.

Pol Pot, yang memporakperandakan masyarakat di Kemboja dalam usaha mewujudkan utopia masyarakat tani Marxsis, mati pada 1998 tanpa dihadapkan ke muka pengadilan.

Bekas menteri luar Khmer Rogue, Ieng Sary dan isterinya juga mati sebelum mereka sempat dibicarakan.

Setakat ini tiga orang dalam rejim itu telah dihukum dan menelan belanja lebih AS$300 juta (S$407.2 juta).

Perdana Menteri Hun Sen - yang juga bekas anggota kader Khmer Rouge - lantang bersuara menentang kes-kes selanjutnya, dengan mendakwa ia akan menjerumuskan negara itu ke arah ketidakstabilan. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita