Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin Islam di Malaysia gesa pembatalan konsert Ed Sheeran disebabkan pendirian pro-LGBT penyanyi

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Ahmad Yahaya menggesa kerajaan membatalkan konsert bintang pop Britain Ed Sheeran kerana didakwa menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Apakah kita masih belum sedar dengan tragedi menjijikkan oleh sebuah kumpulan pro-LGBT The 1975 yang telah melakukan adegan kurang sopan di hadapan ribuan penonton selain menghina pendirian negara menolak ideologi berkenaan?

“Di mana maruah negara ketika mereka menghina pendirian kita menolak fahaman songsang mereka?," soalnya seperti dipetik HarakahDaily, lapor Malaysiakini.

Encik Ahmad menegaskan penganjuran konsert itu pada 24 Feb nanti mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang semakin hampir. Umat Islam dijangka memulakan ibadah puasa pada 10 Mac ini.

“Apatah lagi persembahan berkenaan dijadualkan ketika umat Islam dalam negara dalam persiapan menyambut kedatangan Ramadhan yang mulia.

"Apakah kita semakin terhakis rasa sensitif terhadap hal ehwal agama?,” soalnya.

Sheeran sebelum ini pernah mengadakan konsert di Malaysia pada 2019 sempena jelajah dunia "Divide" manakala persembahan akan datang ini sebahagian daripada "+-=÷x Asia Tour", yang turut menampilkan penyanyi jemputan, Calum Scott.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor meminta umat Islam di negara itu memulau konsert penyanyi terbabit dan mengingatkan bahawa umat Islam ditegah bekerjasama dalam perkara yang membawa kepada dosa atau maksiat seperti dinyatakan di dalam al-Quran, dipetik daripada Malaysiakini.

Dalam perkembangan berkaitan, Encik Ahmad Yahya berkata pihak penganjur seharusnya akur dan menerima teguran oleh Encik Wan Salim berkenaan isu terbabit dan bukan sebaliknya berdolak-dalik dengan alasan yang tidak munasabah.

“Justeru, DUPP turut menggesa kerajaan supaya tidak sesekali membenarkan persembahan mana-mana artis Barat pro-LGBT selain menghormati kemuliaan bulan Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi,” katanya, lapor Malaysiakini.

Gesaan agar konsert tebabit dibatalkan turut dibuat Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar.

“Apa yang sangat dikesali, kerajaan Madani ini langsung tidak mempunyai sensitiviti dan sangat jinak untuk membiarkan penganjuran konsert melibatkan artis luar negara yang jelas mempamerkan sokongan mereka terhadap LGBT," katanya.

Encik Shukri menggesa kerajaan PH-BN menghormati nasihat yang diberikan oleh para mufti dan ulama berhubung perkara tersebut.

Pada Rabu (1 Feb), Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi jaminan konsert bintang Ed Sheeran akan berjalan seperti yang dijadualkan.

Katanya, konsert itu sudah mendapat lampu hijau daripada Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-Puspal).

"Antara 16 agensi yang terbabit dalam perbincangan untuk memutuskan permohonan mana-mana persembahan artis luar negara melalui jawatankuasa Puspal adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Sudah pasti saringan teliti dibuat oleh semua agensi ini, jadi saya mohon supaya proses sedia ada ini (diikuti).

“Kita ambil maklum pandangan tetapi kita ada prosesnya," jelas menteri itu.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan