Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin Hong Kong umum rancangan buka sempadan dengan Tanah Besar China bulan depan

Anggaran Waktu Membaca:
BEIJING: Pemimpin Hong Kong pada Sabtu (24 Dis) mengumumkan bandar itu akan membuka semula sempadannya dengan tanah besar China menjelang pertengahan Januari meskipun angka jangkitan COVID-19 meningkat, menyusuli langkah Beijing menggugurkan sekatan pandemik.

Demikian menurut laporan agensi berita UPI.

Bercakap di sidang media sebaik pulang dari ibu negara China, Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee berkata pihak berkuasa menyasarkan untuk membuka semula semua pintu masuk antara kedua-dua pihak secara beransur-ansur, teratur dan menyeluruh.

Beliau menegaskan bahawa tarikh sebenar untuk melonggarkan sekatan adalah terpulang kepada kerajaan pusat.

"Saya mengumumkan bahawa pembukaan semula sempadan dengan tanah besar kini boleh dicapai," South China Morning Post memetik kata-kata Encik Lee.

"Kami berhasrat untuk berbincang dengan pihak berkuasa di Guangdong dan rancangan Shenzhen untuk membuka semula sempadan dan kemudian mendapatkan kelulusan (akhir) dari kerajaan pusat."

Hong Kong dan Beijing menutup sempadan mereka pada awal 2020 apabila COVID-19 muncul di bahagian itu.

Shenzhen bersetuju untuk menambah kuota ketibaan harian penduduk Hong Kong daripada 2,500 kepada 2,800 pada minggu lalu.

Pembukaan semula yang dirancang, bagaimanapun bergantung kepada situasi pandemik.

Pihak berkuasa kesihatan Hong Kong mencatat lebih 21,000 jangkitan COVID-19 pada Sabtu, dan kes melebihi 20,000 bagi tempoh dua hari berturut-turut.

Sebanyak 39 kematian turut direkodkan.

Jumlah keseluruhan kes jangkitan di Hong Kong setakat ini berjumlah 2.46 juta kes dan 11,412 kematian direkodkan.
Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan