Pemimpin Hong Kong ikrar dengar suara rakyat
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata pemerintahnya, dengan rasa rendah hati, akan mendengar suara rakyat. Beliau berkata demikian selepas calon-calon pro-demokrasi mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Majlis Daerah di wilayah khas China itu pada Ahad (24 Nov).

Cik Carrie Lam. (Gambar: REUTERS/Ann Wang)
HONG KONG: Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata pemerintahnya, dengan rasa rendah hati, akan mendengar suara rakyat.
Beliau berkata demikian selepas calon-calon pro-demokrasi mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Majlis Daerah di wilayah khas China itu semalam (24 Nov).
Cik Lam berkata pemerintahnya menerima keputusan tersebut.
Pilihan raya itu yang pertama diadakan sejak tunjuk perasaan anti pemerintah secara besar-besaran meletus hampir enam bulan lalu dan belum berakhir sepenuhnya.
Banyak pihak menganggapnya sebagai pungutan suara rakyat mengukur sokongan mereka terhadap kepimpinan Cik Lam.
71.2 peratus daripada 4.1 juta pengundi telah membuat pilihan mereka.
Jumlah pengundi dan kadar yang keluar mengundi itu adalah yang tertinggi dibandingkan dengan semua pilihan raya sebelum ini di Hong Kong.
Media tempatan menyatakan kumpulan pro-demokrasi menang 17 daripada 18 majlis daerah yang sebelum ini semuanya dikuasai kumpulan penyokong pemerintah Hong Kong yang juga berpihak kepada Beijing.
Berikutan kemenangan besar mereka, kumpulan pro-demokrasi berkata Cik Lam kini perlu memenuhi tuntutan-tuntutan para penunjuk perasaan.
Ini termasuk pilihan raya bebas untuk memilih Ketua Eksekutif dan para anggota parlimen Hong Kong serta siasatan bebas tentang dakwaan kekejaman yang dilakukan polis.
Dalam reaksinya pula selepas kekalahan teruk pihak pro-Beijing, Menteri Luar China, Wang Yi berkata Hong Kong tetap merupakan sebahagian daripada China walau apapun yang terjadi.
Encik Wang menegaskan sebarang percubaan untuk mengubah keadaan itu atau menghancurkan kemakmuran dan kemantapannya tidak akan berjaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.