Pemimpin global beri reaksi terhadap serangan Amerika ke atas tapak nuklear Iran
Serangan udara Amerika Syarikat ke atas tiga tapak nuklear Iran pada Ahad (22 Jun) mengundang reaksi berbeza-beza.
Orang ramai berdiri di hadapan paparan berita Fox News yang memaparkan tajuk utama mengenai serangan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran, di Bandar New York, pada 21 Jun 2025. (Gambar: Reuters/Eduardo Munoz)
Israel menyuarakan sokongan penuh terhadap serangan tersebut, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara lain mengeluarkan gesaan mendesak bagi meredakan ketegangan sekarang ini.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengisytiharkan bahawa serangan tersebut "memusnahkan sepenuhnya dan secara mutlak" tapak nuklear Iran.
Beliau memberi amaran bahawa Tehran kini mesti "memilih untuk berdamai atau kami akan menyasarkan" lokasi-lokasi lain di Iran.
Berikut merupakan antara reaksi masyarakat antarabangsa:
PERDANA MENTERI ISRAEL BENJAMIN NETANYAHU
“Syabas, Presiden Trump. Keputusan berani anda untuk menyasarkan kemudahan nuklear Iran dengan kekuatan hebat Amerika Syarikat akan mengubah sejarah ... Sejarah akan mencatat bahawa Presiden Trump bertindak untuk menghalang rejim paling berbahaya di dunia daripada memperoleh senjata paling berbahaya di dunia.”
Encik Netanyahu turut berkata bahawa program nuklear Iran mengancam "kewujudan negara itu sendiri dan membahayakan keamanan dunia".
SETIAUSAHA AGUNG PBB ANTONIO GUTERRES
“Saya amat bimbang dengan penggunaan kekerasan oleh Amerika Syarikat terhadap Iran hari ini. Perang ini merebak dengan berbahaya di rantau yang sudah dibelenggu ketegangan – dan satu ancaman langsung kepada keamanan serta keselamatan antarabangsa.
“Terdapat risiko yang semakin meningkat bahawa konflik ini boleh menjadi tidak terkawal dengan pantas – dengan akibat yang membawa malapetaka kepada orang awam, rantau ini dan dunia,” kata Encik Guterres.
Beliau menggesa negara anggota untuk meredakan ketegangan dan mematuhi kewajipan mereka di bawah Piagam PBB serta undang-undang antarabangsa lain.
“Pada detik genting ini, amat penting untuk mengelak daripada kekacauan berterusan. Tiada penyelesaian ketenteraan. Satu-satunya jalan ke hadapan ialah diplomasi. Satu-satunya harapan ialah keamanan.”
MENTERI LUAR VENEZUELA, YVAN GIL
“Venezuela mengecam pencerobohan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iran dan menuntut agar permusuhan dihentikan serta-merta,” kata Menteri Luar Venezuela, Yvan Gil.
“Republik Bolivarian Venezuela dengan tegas mengecam sama sekali pengeboman yang dilakukan tentera Amerika Syarikat, atas permintaan negara Israel, terhadap kemudahan nuklear di Republik Islam Iran, termasuk di kompleks Fordow, Natanz, dan Isfahan.”
KEMENTERIAN LUAR MEXICO
“Kementerian menyeru dengan segera agar dialog diplomatik demi keamanan dapat diwujudkan antara pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Timur Tengah.
“Sesuai dengan prinsip dasar luar dalam perlembagaan kami dan pendirian aman negara ini, kami mengulangi gesaan agar ketegangan di rantau ini diredakan. Pemulihan hubungan damai antara negara-negara di rantau ini merupakan keutamaan tertinggi," menurut Kementerian Luar Mexico.
PRESIDEN CUBA, MIGUEL DIAZ-CANEL
“Kami mengecam sekeras-kerasnya pengeboman Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran, yang merupakan peningkatan berbahaya dalam konflik di Timur Tengah.
“Pencerobohan ini melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa secara serius, serta menjerumuskan kemanusiaan ke dalam krisis yang boleh membawa akibat yang tidak dapat dipulihkan,” menurut Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.