Pemimpin GCC gesa konflik Gaza dihentikan dalam sidang puncak bersama Trump

Presiden Amerika Donald Trump bertemu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman semasa perhimpunan enam negara GCC di Riyadh pada 14 Mei 2025. (Gambar: Brendan Smialowski / AFP)
Sidang Puncak GCC-Amerika itu diadakan semasa lawatan serantau Encik Trump ketika ini, yang merupakan lawatan pertamanya ke luar negara sejak memegang jawatan pada Januari lalu.
Dalam ucapannya di sidang berkenaan, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman menyifatkan hubungan dengan Washington sebagai “strategik”.
“Kami bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk meredakan situasi di Gaza, menamatkan konflik dan mencari huraian menyeluruh bagi isu Palestin,” katanya.
Tentera Israel terus melancarkan serangan di Carikan Gaza sejak Oktober 2023, yang telah meragut lebih 52,900 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
“Kami menegaskan penghormatan kami terhadap kedaulatan Syria dan menyokong usaha kerajaan untuk mencapai keselamatan. Kami memuji keputusan Presiden Trump untuk menarik balik sekatan terhadap Syria yang akan meringankan penderitaan rakyat negara itu,” kata beliau lagi.
Amir Kuwait Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Sabah pula menyeru usaha masyarakat antarabangsa dipertingkat bagi memastikan keselamatan dan kestabilan Syria, memelihara kedaulatan dan integriti wilayahnya, menamatkan penderitaan rakyat, serta menghentikan campur tangan asing dalam hal ehwal negara itu.
Beliau turut memuji pengumuman Encik Trump mengenai pemansuhan sekatan terhadap Syria.
Pada Selasa (23 Mei), Encik Trump dalam ucapannya di Forum Pelaburan Arab Saudi-Amerika 2025 di Riyadh berkata beliau akan mengarahkan pemansuhan sekatan “kejam dan melumpuhkan” terhadap Syria bagi memberi peluang kepada Syria “meraih kegemilangan.”
Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa turut memuji usaha diplomatik berkesan Encik Trump dalam mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah serta dunia amnya.
“Kami menghargai keputusan Trump menarik balik sekatan ekonomi ke atas Syria dan berharap dapat memperluaskan kerjasama untuk mewujudkan rantau yang selamat, stabil dan makmur melibatkan semua negara,” kata beliau.
“Dasar yang bijak ini merupakan peluang unik untuk bergerak bersama ke arah keamanan yang adil dan berkekalan yang menjamin hak rakyat Palestin menerusi huraian dua negara, memelihara keselamatan dan kestabilan serantau.”
Timbalan Perdana Menteri Oman Asa’ad bin Tarik Al-Said pula menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap situasi kemanusiaan di Gaza akibat pendudukan Israel selama beberapa dekad ke atas wilayah Palestin.
“Ketidakadilan yang berterusan ini di samping kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mencapai keamanan yang adil adalah punca utama pelbagai cabaran di rantau ini,” katanya pada sidang kemuncak berkenaan.
Selepas sidang puncak itu, Encik Trump dijadual meneruskan lawatan ke Doha, Qatar dan ke Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.