Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin EU tawar 2 pilihan bagi penangguhan Brexit

Para pemimpin Eropah dan Perdana Menteri Britain Theresa May mencapai persetujuan pada Khamis (21 Mac) untuk menangguhkan sebentar tindakan mengeluarkan negara itu dari Kesatuan Eropah (EU) dengan harapan Brexit berlaku dengan teratur.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Mar 2019 11:34AM Dikemas Kini : 22 Mar 2019 10:42PM

BRUSSELS: Para pemimpin Eropah dan Perdana Menteri Britain Theresa May mencapai persetujuan pada Khamis (21 Mac) untuk menangguhkan sebentar tindakan mengeluarkan negara itu dari Kesatuan Eropah (EU) dengan harapan Brexit berlaku dengan teratur.

Britain sebelum ini berdepan dengan tarikh akhir 29 Mac untuk meninggalkan EU, namun para pemimpin kesatuan itu bersetuju untuk menangguhkannya sehingga 22 Mei jika para anggota parlimen Britain meluluskan perjanjian Brexit minggu depan.

Namun jika Dewan Rakyat sekali lagi menolak perjanjian itu - seperti yang dilakukannya dua kali sebelum ini, Brexit akan berlaku pada 12 April, melainkan negara itu memilih untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah.

"12 April adalah tarikh penting dalam menentukan jika UK akan mengadakan pilihan raya Eropah," kata presiden Majlis EU Donald Tusk semasa mengumumkan perjanjian itu.

Namun Cik May bertegas untuk "mengotakan" keputusan para pengundi untuk menamatkan keanggotaan London dalam EU selama 46 tahun itu.

"Saya amat percaya bahawa adalah tidak wajar untuk menyuruh warga UK menyertai pilihan raya ini tiga tahun selepas mereka mengundi untuk keluar dari Kesatuan Eropah, kata Cik May semasa mengesahkan perjanjian itu.

Belum jelas sama ada Cik May boleh menggembleng sokongan Dewan Rakyat untuk meluluskan perjanjian perpisahan yang beliau tandatangani November lalu.
"Keputusan hari ini (dengan EU) menekankan lagi peri pentingnya Dewan Rakyat meluluskan perjanjian Brexit minggu depan," tegas beliau.

"Esok pagi saya akan kembali ke UK dan akan bekerja keras untuk mendapatkan sokongan untuk meluluskan perjanjian ... Saya harap kita semua dapat bersepakat bahawa inilah masanya untuk membuat keputusan."

Cik May sebelum ini memohon agar Brexit dapat ditunda sehingga 30 Jun untuk memberi ruang masa untuk mengesahkan perjanjian jika ia diluluskan, namun para pemimpin Eropah memutuskan tidak ingin isu Brexit menjejas kempen pilihan raya. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan