Pemimpin EU ikrar tindak balas jika Trump cetus perang dagang

Presiden Perancis Emmanuel Macron bersama Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen dan Timbalan Presiden Suruhanjaya Eropah Kaja Kalla di mesyuarat pemimpin EU pada 3 Februari 2025. (Gambar: NICOLAS TUCAT / AFP)
Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata bahawa Kesatuan Eropah perlu menunjukkan kebolehannya jika Presiden Amerika Donald Trump meneruskan ancamannya untuk menyasarkan kelompok itu dengan tarif.
"Jika kami diserang dari segi tarif, Eropah - sebagai kuasa sebenar - perlu mempertahankan diri," kata Encik Macron.
Pemimpin 27 negara EU berkumpul di ibu kota Belgium bersama perdana menteri Britain dan ketua NATO bagi membincangkan usaha untuk meningkatkan pertahanan Eropah yang berhadapan Rusia - sedang Encik Trump menggesa sekutu Amerika berbelanja lebih banyak lagi.
Namun, perbincangan itu dibayangi oleh keputusan pemimpin Amerika untuk mengenakan tarif ke atas Kanada, Mexico dan China -- dengan Encik Trump mengancam untuk menyasarkan EU seterusnya.
Perdana Menteri Poland Donald Tusk, yang kini memegang jawatan presiden EU, berkata bahawa tindakan mesti dilakukan untuk mengelakkan perang perdagangan yang "tidak perlu dan tidak bijak".
Encik Trump tidak menyembunyikan permusuhannya dengan EU, sambil menuduhnya melayan Amerika Syarikat dengan cara yang "sangat, sangat tidak adil" dalam perdagangan.
Selepas mengenakan levi ke atas jirannya di Amerika Utara dan China, Encik Trump menambah pada Ahad bahawa dia "pasti" merancang untuk menyasarkan EU pada masa hadapan.
Canselor Jerman Olaf Scholz berkata pertikaian perdagangan akan menjadi "buruk untuk Amerika, buruk untuk Eropah", dengan "kerjasama" transatlantik lebih menjadi pilihan untuk kedua-dua pihak.
"Kami juga boleh bertindak balas," tambahnya, yang berubah daripada pendekatan tradisional Jerman yang berhati-hati terhadap hubungan perdagangan transatlantik.
"Kami memerlukan Amerika, dan Amerika juga memerlukan kami," kata diplomat tertinggi EU, Kaja Kallas, sambil menambah "tiada pemenang dalam perang perdagangan".
Pada Ahad, Suruhanjaya Eropah berkata ia akan bertindak balas "tegas" jika Encik Trump bertindak dan mengecam tindakannya terhadap Kanada, Mexico dan China.
"Tarif mewujudkan gangguan ekonomi yang tidak perlu dan mendorong inflasi. Ia menjejas semua pihak," kata jurucakap suruhanjaya itu.
Sehingga itu, Brussels menyatakan bahawa ia berharap untuk mengelakkan konflik perdagangan dengan Encik Trump melalui rundingan.
Ketua Majlis Eropah Antonio Costa kemudian membuat panggilan telefon dengan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau.
"Kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan hubungan dua hala EU-Kanada dan mengesahkan keazaman mereka untuk terus bekerjasama," kata seorang pegawai EU.
Sejak Encik Trump dipilih semula pada November, Brussels telah berusaha untuk mempelbagaikan perkongsian dagangannya, mengumumkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini perjanjian perdagangan yang diperkukuh dengan Mexico dan penyambungan semula perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia.
Dalam penggal pertama Presiden Trump pada 2018, beliau mengenakan tarif ke atas eksport keluli dan aluminium Eropah -- menyebabkan EU bertindak balas dengan cukai yang lebih tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.