Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin dunia ucap takziah; angka korban tragedi kereta api India cecah 300

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin dunia ucap takziah; angka korban tragedi kereta api India cecah 300

(Gambar: AFP/Dibyangshu Sarkar)

NEW DELHI: Beberapa pemimpin asing menzahirkan ucapan takziah selepas angka korban akibat kemalangan kereta api di timur India kini mencecah hampir 300 orang.
Pemimpin Turki, Britain, Pakistan, Jepun, Kesatuan Eropah (EU), Australia dan Sri Lanka adalah antara negara yang melahirkan rasa simpati terhadap mangsa insiden berkenaan.

"Saya amat sedih menerima berita kehilangan nyawa yang ramai dan mangsa yang cedera akibat kemalangan kereta api di wilayah Odisha," kata Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

"Kami bersama rakyat India pada saat duka ini. Eropah berkabung bersama anda," kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.

"Gambar dan laporan kemalangan kereta api di Odisha, India meluluhkan hati saya. Saya menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang," kata Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau.

Perdana Menteri India Narendra Modi pada Sabtu (3 Jun) mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri Menteri Dalam Negeri Amit Shah dan para pegawai kanan bagi membincangkan kesan kemalangan antara Ekspres Coromandel ke Chennai dan kereta api Yesvantpur-Howrah Superfast di daerah Balasore Odisha.

"Aspek berkaitan operasi menyelamat, bantuan dan rawatan perubatan kepada mereka yang terjejas telah dibincangkan dalam mesyuarat semakan," menurut Pejabat Perdana Menteri India.

Encik Modi kemudian melawat Odisha bagi "meninjau lokasi kejadian."

Beratus-ratus anggota penyelamat, 200 ambulans, 50 bas dan 45 unit kesihatan dikerahkan ke lokasi kemalangan, lapor media tempatan.

"Jawatankuasa peringkat tinggi akan meneliti punca kemalangan kereta api ini," kata Menteri Kereta Api Ashwini Vaishnaw kepada para pemberita pada Sabtu.

Angka korban setakat ini kira-kira 300 orang manakala jumlah penumpang yang cedera melebihi 900.

Ia adalah kemalangan kereta api ketiga paling buruk pernah berlaku di India.

Kira-kira 800 orang maut dalam kemalangan kereta api pada 1981 apabila banyak koc tergelincir ke dalam sungai di timur wilayah Bihar.

Pada 1995, sekurang-kurangnya 358 orang terbunuh akibat dua kereta api bertembung di daerah Firozabad, wilayah Uttar Pradesh.

Kemalangan yang sama turut berlaku di Benggala Barat pada 1999 hingga mengorbankan lebih 285 nyawa.

Kemalangan pada Jumaat (2 Jun) menggemparkan negara itu, dengan ramai yang menuntut pembiayaan dan piawaian keselamatan lebih baik untuk rangkaian rel kereta api sepanjang 67,000 kilometer itu.

"Kami mempunyai banyak soalan untuk ditanya kepada perdana menteri dan menteri kereta api tetapi hal itu boleh ditunda kerana tugas segera adalah menyelamat dan membantu," kata ketua Kongres Kebangsaan India Mallikarjun Kharge.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan