Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin dunia termasuk Biden, Trudeau dan Sunak ucap Selamat Hari Raya kepada umat Islam

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin dunia termasuk Biden, Trudeau dan Sunak ucap Selamat Hari Raya kepada umat Islam

Gambar: AP Photo/Andrew Harnik

BERITAmediacorp: Para pemimpin dunia tidak ketinggalan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada umat Islam, sejak Jumaat (21 Apr).

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan isteri Jill Biden mengucapkan tahniah kepada umat Islam di seluruh dunia yang menyambut Aidilfitri, yang menandakan berakhirnya bulan Ramadan. Pemimpin negara lain, termasuk daripada Jerman, United Kingdom dan Kanada turut menyampaikan ucapan yang sama.

"Saya dan Jill ingin mengucapkan tahniah kepada masyarakat Islam di Amerika Syarikat dan seluruh dunia yang menyambut Aidilfitri dan melabuhkan tirai Ramadan," menurut Presiden Biden dalam satu kenyataan.

“Sementara kita menyambut keberkatan hari raya ini, marilah kita juga kembali komited kepada kerja abadi membina keamanan dan mempertahankan hak dan maruah semua,” katanya.

"Pentadbiran saya juga komited menangani segala bentuk kebencian termasuk islamofobia. Itulah sebabnya saya menubuhkan pasukan petugas antara agensi dengan pegawai kanan pemerintah untuk menangani ini dan cabaran berkaitan dengannya serta menggalakkan setiap warganegara AS membina negara yang lebih inklusif," tambahnya.

Beliau berkata bahawa mereka akan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Rumah Putih sekali lagi tahun ini untuk "mengiktiraf orang Islam Amerika yang sudah menyumbang kepada negara kita."

"Bagi mereka yang menyambutnya, saya dan Jill berharap anda dan yang tersayang menikmati sambutan Aidilfitri. Eid Mubarak!" tambah beliau.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau juga mengirimkan ucapan bagi masyarakat Islam di Kanada.

"Malam ini, umat Islam di Kanada dan seluruh dunia akan menandakan berakhirnya Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri," tulisnya dalam satu kenyataan pada Khamis (20 Apr).

"Selepas sebulan berdoa dan berpuasa, hari raya adalah masa untuk iman dan kerohanian. Masa untuk tradisi dan masyarakat. Dan masa untuk kegembiraan dan kebahagiaan.

"Dari Vancouver dan Calgary ke Toronto dan Halifax, sambutan Aidilfitri akan berlangsung di seluruh negara malam ini. Dan semasa anda berkumpul tahun ini, warga Kanada akan mengiktiraf banyak sumbangan yang anda sudah lakukan," tulis PM Trudeau.

"Daripada keluarga saya kepada anda, saya dan Sophie mengucapkan selamat hari raya kepada anda semua. Eid Mubarak!" ucapnya dalam kenyataan itu.

Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier pula dalam satu kenyataan menyatakan: "Perayaan di akhir Ramadan adalah salah satu perayaan keagamaan terbaik di negara kita,"

Encik Steinmeier berkata perayaan Aidilfitri juga merupakan peluang untuk mengukuhkan dialog dan persefahaman antara budaya dan agama yang berbeza di Jerman.

“Saya berharap orang yang beragama lain dan yang juga tidak beriman akan mengambil peluang ini untuk berbual dengan orang Islam dan mengetahui lebih lanjut tentang salah satu daripada dua perayaan penting dalam Islam,” katanya.

Encik Steinmeier juga berterima kasih kepada umat Islam yang menganjurkan kempen dalam beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini untuk menggerakkan sokongan kepada mangsa gempa bumi Turki dan Syria pada 6 Februari yang lalu.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak juga menyampaikan ucapan selamat kepada umat Islam di negaranya ketika mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Aidilfitri adalah peluang tepat pada masanya untuk mengiktiraf nilai-nilai bersama yang mengikat kita bersama, terutamanya belas kasihan dan dedikasi anda untuk menyumbang kepada kebajikan dan sifat dermawan," katanya dalam satu kenyataan.

"Ini terbukti awal tahun ini, melalui sambutan luar biasa masyarakat untuk menyokong mangsa gempa bumi di Turki dan Syria."

Sambil memberi penghormatan kepada sumbangan "luar biasa" yang dilakukan oleh masyarakat Islam kepada negara, beliau berkata: "Sama ada dalam perniagaan, sukan, media, perkhidmatan awam kami, atau sudah tentu NHS (Perkhidmatan Kesihatan Negara) dan angkatan bersenjata kami, umat Islam Britain menjayakan negara ini.

"Eid Mubarak kepada semua orang yang merayakannya hari ini," katanya, sambil menambah bahawa beliau tidak sabar untuk mengalu-alukan wakil masyarakat Islam Britain ke Downing Street untuk meraikan Aidilfitri.
Sumber : Sumber Web/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan