Skip to main content

Dunia

Pemimpin dunia perlu kukuhkan sistem dagangan global, kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Nov 2022 03:56PM Dikemas Kini : 15 Nov 2022 10:10PM

NUSA DUA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyeru pemimpin dunia agar mengukuhkan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan dan secara kolektif bagi  mempercepatkan tercapainya matlamat bersih-sifar.

Berucap di sidang puncak pemimpin G20 di Bali pada Selasa (15 Nov), PM Lee berkata ia perlu dilakukan untuk menangani masalah jaminan bekalan makanan dan tenaga, yang diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 dan perang berterusan Rusia ke atas Ukraine.

“Adalah penting bagi semua negara untuk terus menikmati akses tanpa halangan bagi tenaga, makanan dan komoditi pertanian, terutamanya semasa krisis,” kata Encik Lee, sambil menambah bahawa Singapura memandang serius peranannya sebagai pusat yang dipercayai untuk logistik, pengangkutan dan tenaga.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi untuk memastikan rantaian bekalan global yang bebas dan terbuka."

Negara-negara juga perlu meningkatkan pembiayaan mampan untuk mencapai matlamat iklim dan membantu sektor agar berhenti mengeluarkan karbon atau beralih kepada tenaga bersih, katanya.

Bulan lalu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyuntik S$5 juta ke dalam geran baru yang bertujuan menyediakan pembiayaan untuk kajian bagi huraian inovatif dan mengumpul modal dalam sektor sasaran di Asia.

Encik Lee menyebut Geran Reka Bentuk Huraian Iklim Asia sebagai contoh bagaimana negara boleh menyokong usaha untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan sektor swasta dalam projek prasarana yang mampan.

PM Lee turut menarik perhatian rancangan iklim Singapura yang termasuk menaikkan cukai karbon dan membangunkan ekonomi hidrogen.

Bulan lalu, Singapura menaikkan sasaran iklimnya - menjelang sidang puncak iklim PBB (COP27) tahun ini - dengan berikrar untuk mengurangkan pelepasan kepada kira-kira 60 juta tan karbon dioksida (MtCO2e) pada 2030. Dalam jangka panjang, Singapura menyasarkan untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050.

Bagaimanapun, kos pengeluaran yang tinggi dan kekurangan infrastruktur kekal menjadi halangan dalam penggunaan hidrogen di Singapura. Sama ada atau tidak negara ini akan mencapai sasaran iklimnya akan bergantung pada seberapa cepat ia dapat mengatasi halangan tersebut serta kemajuan teknologi.

Menggulung ucapannya, Encik Lee berkata Singapura berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi G20 untuk mengukuhkan jaminan bekalan makanan dan tenaga global.

Singapura bukan anggota G20 tetapi ia dipelawa untuk mengambil bahagian dalam banyak sidang puncak yang lalu dan mesyuarat berkaitan sebagai peneraju Kumpulan Tadbir 

Urus Global (3G) – kumpulan tidak rasmi 30 negara kecil dan sederhana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ditubuhkan oleh Singapura pada 2009, kumpulan 3G itu bertujuan untuk menggalakkan dialog antara G20 dan keanggotaan PBB yang lebih luas.

Encik Lee menghadiri mesyuarat G20 atas undangan  Presiden Indonesia Joko Widodo, selaku peranannya sebagai  presiden G20 tahun ini.

Sempena lawatan kerjanya selama tiga hari, Encik Lee akan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin lain di luar sidang puncak itu.

Beliau diiringi Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong, yang juga Menteri Kewangan, serta Menteri Luar Vivian Balakrishnan.

 

 

  

Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita