Pemimpin dunia Islam digesa bersuara, bertindak susuli siri pengeboman masjid-masjid Afghanistan
Dengan bumi Afghanistan sekali lagi berduka ekoran serangan bom nekad yang berlaku di masjid untuk kali ketiga pada Oktober, pemimpin dunia Islam harus segera bersuara dan bertindak bagi mengelak kejadian yang sama daripada terus berulang.
Kesan serangan bom nekad di sebuah masjid di Kandahar, Afghanistan. (Gambar: AP)
KUALA LUMPUR: Dengan bumi Afghanistan sekali lagi berduka ekoran serangan bom nekad yang berlaku di masjid untuk kali ketiga pada Oktober, pemimpin dunia Islam harus segera bersuara dan bertindak bagi mengelak kejadian yang sama daripada terus berulang.
Menurut kenyataan yang memetik Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia di Kabul, Encik Syahrir Azfar Saleh, corak serangan yang sama berlaku sekali lagi semalam (15 Okt), di Kandahar dengan angka korban lebih 23 orang.
Kejadian pertama berlaku pada 3 Oktober 2021 di Masjid Eid Gah, Kabul membunuh sekurang-kurangnya lima orang. Selang lima hari berikutnya, serangan bom nekad dilakukan di sebuah masjid di Kunduz ketika masyarakat Afghanistan sedang menunaikan solat Jumaat yang membunuh lebih 80 orang.
GPM di dalam kenyataan kekesalan berhubung pengeboman yang berlaku pada minggu lalu di Kunduz melahirkan gesaan agar semua pihak yang bertelagah untuk menyelesaikannya di meja rundingan dan tidak melibatkan keselamatan dan nyawa orang awam.
Namun begitu, kejadian yang masih berlaku selang seminggu dengan modus operandi yang sama itu benar-benar memerlukan tindakan daripada pemimpin negara-negara Islam untuk membantu Afghanistan meredakan tekanan yang sengaja dibuat oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan negara yang masih belum stabil.
Rakyat Afghanistan pastinya terlalu letih dengan pergolakan demi pergolakan yang berlaku dan perlu diberi ruang untuk kembali bernafas dalam suasana yang aman dan tenang.
Lakukanlah sesuatu sebelum keadaan menjadi lebih teruk dan akhirnya kita terpaksa melihat kancah peperangan yang tiada berkesudahan di bumi Afghanistan, menurut kenyataan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.