Skip to main content

Dunia

Pemimpin dunia beri penghormatan kepada Ratu Elizabeth II

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin dunia beri penghormatan kepada Ratu Elizabeth II
Diterbitkan : 09 Sep 2022 08:07AM Dikemas Kini : 09 Sep 2022 09:23AM
BALMORAL, Scotland: Ratu Elizabeth yang paling lama bertakhta selama tujuh dekad meninggal dunia pada usia 96 tahun, menurut Istana Buckingham pada Khamis (8 Sep).

Berikut adalah reaksi para pemimpin dunia kepada pengumuman mengenai kemangkatan Ratu Elizabeth:

SETIAUSAHA AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), ANTONIO GUTERRES

"Sebagai Ketua Negara United Kingdom yang paling lama bertakhta, Ratu Elizabeth II dikagumi atas ketokohan, kepimpinan dan dedikasinya kepada seluruh dunia. Beliau seorang pemimpin yang tenang dan sangat bertekad sedang dunia melalui pelbagai perubahan besar, termasuk kemerdekaan Afrika dan Asia serta evolusi Komanwel.

"Ratu Elizabeth II adalah rakan baik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beliau sudah melawat Ibu Pejabat New York kami sebanyak dua kali. Beliau sangat komited kepada pelbagai acara amal dan alam sekitar serta berucap dengan penuh dedikasi kepada para perwakilan semasa persidangan iklim COP26 di Glasgow.

"Saya ingin memberikan penghormatan kepada Ratu Elizabeth II atas dedikasinya yang tidak berbelah bahagi sepanjang hayatnya dan perkhidmatan beliau kepada rakyatnya. Dunia akan memperingati dedikasi dan kepimpinannya".

PRESIDEN AMERIKA SYARIKAT, JOE BIDEN DAN JILL BIDEN

"Dalam dunia yang berubah-ubah, beliau menjadi lambang kebanggaan seluruh rakyat Britain. Ini termasuk ramai yang tidak akan mengenali negara mereka tanpa beliau," kata Presiden Biden dan isterinya Jill dalam satu kenyataan media. "Warisan beliau akan terakam dalam sejarah British dan sejarah dunia."

PERDANA MENTERI KANADA, JUSTIN TRUDEAU

"Dengan berat hati kami dimaklumkan mengenai pemergian Pemerintah Kanada yang paling lama bertakhta, Ratu Elizabeth II. Beliau merupakan kehadiran tetap dalam kehidupan kami - jasa beliau kepada warga Kanada akan kekal sebagai bahagian penting dalam sejarah negara kami."

SETIAUSAHA AGUNG KOMANWEAL, PATRICIA SCOTLAND

"
Ratu Elizabeth II menyayangi Komanwel dan Komanwel menyayanginya. Sepanjang tempoh beliau bertakhta, beliau mengadakan lawatan lebih daripada mana-mana raja dalam sejarah. Antara 1971 dengan 2018, beliau hanya terlepas satu Mesyuarat Ketua Kerajaan."

"Pertumbuhan dan kerancakan Komanwel moden adalah penghargaan kami kepada mendiang serta bukti dedikasi, kebijaksanaan dan kepimpinannya."

PERDANA MENTERI NEW ZEALAND, JACINDA ARDERN

"Saya tahu saya berucap untuk semua orang di seluruh New Zealand semasa mengutuskan takziah kami kepada para anggota Keluarga Diraja atas kemangkatan Ratu Elizabeth. Bagi kami, beliau adalah pemimpin yang sangat dikagumi dan dihormati dan bagi mereka pula, beliau seorang ibu dan nenek yang sangat disayangi."

"Ratu Elizabeth sangat disayangi dan dikagumi. Rekod pemerintahannya selama 70 tahun menjadi bukti komitmen beliau kepada kami semua. Beliau memang sangat luar biasa."

PERDANA MENTERI AUSTRALIA, ANTHONY ALBANESE

"Dengan kemangkatan Ratu Elizabeth II, pemerintahan bersejarah, pengabdiannya kepada tugas, keluarga dan seluruh rakyatnya sudah berakhir."

"Australia mengutuskan takziah yang mendalam kepada rakyat United Kingdom yang meratapi pemergiannya hari ini (8 Sep) kerana mereka seperti sudah kehilangan sebahagian besar daripada apa yang menjadikan negara mereka sangat luar biasa."
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita