Skip to main content

Dunia

Pemimpin Bersatu tegas PN tidak akan terkubur

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin Bersatu tegas PN tidak akan terkubur
Pihak pembangkang, Perikatan Nasional (PN). (Gambar: Bernama)
Diterbitkan : 31 Dec 2025 08:37AM Dikemas Kini : 31 Dec 2025 08:38AM
KUALA LUMPUR: PN tidak akan berkubur seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya masih berfungsi dengan Bersatu kekal sebagai parti komponen gabungan itu, kata Ketua Penerangan Bersatu, Faisal Ismail Aziz.

Menurut Encik Faisal, setakat ini tiada sebarang perubahan dasar dibuat dalam PN dan sebarang keputusan penting, termasuk soal jawatan pengerusi, akan dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

“PN ada saja, kenapa pula nak terkubur. Bersatu masih komponen PN dan setakat ini belum ada dasar yang berubah.

“Perkara berkaitan jawatan pengerusi PN akan dibawa ke Mesyuarat MT PN untuk diputuskan,” katanya kepada Malaysiakini.

Encik Faisal berkata demikian ketika diminta mengulas situasi semasa hubungan Bersatu dengan PAS ketika ini.

Pada Selasa, Encik Muhyiddin Yassin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN selepas lima tahun menerajui gabungan itu.

Keputusan itu dibuat ketika ketegangan memuncak antara PAS dan Bersatu, menyusuli tindakan pemimpin Bersatu di Perlis yang memulakan percubaan rampasan kuasa sehingga menyebabkan PAS kehilangan penguasaan ke atas kerajaan negeri itu.

Sejak itu, pemimpin PAS mengancam untuk meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama Umno, atau mengambil alih sendiri kepimpinan PN.

Peletakan jawatan Encik Muhyiddin yang juga mantan perdana menteri itu turut disusuli empat pengerusi PN negeri iaitu Faizal Azumu (Perak) Azmin Ali (Selangor), Mohamad Hanifah Abu Baker (Negeri Sembilan) dan Sahruddin Jamal (Johor).

Sementara itu, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Taman Medan, Dr Afif Bahardin turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha PN Selangor.

Mengulas lanjut, Encik Faisal turut mempertahankan sikap Encik Muhyiddin dengan berkata Presiden Bersatu itu tidak mengejar jawatan dan sejak awal bersikap terbuka dalam soal pembahagian peranan dalam PN.

Encik Faisal berkata, selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15 lalu, Encik Muhyiddin telah menawarkan jawatan utama dalam PN kepada PAS, namun tawaran itu ditolak.

“Selepas PRU15, (Muhyiddin) tawarkan jawatan kepada PAS, termasuk jawatan Ketua Pembangkang, tetapi PAS yang menolak.

“Selepas itu barulah beliau mencadangkan Hamzah Zainuddin dan dipersetujui oleh Abdul Hadi Awang serta pimpinan lain. Ini menunjukkan Muhyiddin tidak mengejar jawatan dan sangat terbuka,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, sumber terdekat daripada kem Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin dalam Bersatu berkata PN tidak akan terkubur, sebaliknya akan diterajui oleh PAS.

“Mana ada terkubur. PAS akan kemudi PN,” katanya.

Beliau mendakwa Encik Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN selepas ditekan oleh pimpinan PAS dan beberapa pemimpin Bersatu sendiri, termasuk dirinya.

Menurutnya, tekanan itu berpunca daripada krisis politik di Perlis yang dianggap memberi kesan buruk kepada PN.

“Apa yang berlaku di Perlis ini memang amat memudaratkan PN.

“Akhirnya Tan Sri akur dan saya sendiri terkejut bila dia lepaskan jawatan terus,” katanya kepada Malaysiakini.

Sumber terbabit turut mendakwa majoriti ahli Parlimen PN juga bersetuju dengan peletakan jawatan itu dan tiada usaha serius untuk memujuk Encik Muhyiddin supaya kekal.

“Maknanya majoriti ahli Parlimen PN bersetuju beliau letak jawatan sebagai pengerusi,” katanya.

Beliau juga berkata PAS sudah lama bersabar dengan keadaan dalaman PN dan mendakwa Encik Muhyiddin gagal memberikan penjelasan berhubung ketiadaan tindakan terhadap lima ADUN Bersatu di Perlis.

“Beliau letak jawatan sebab tidak dapat jawab kenapa tiada tindakan diambil terhadap lima ADUN Bersatu Perlis," tambahnya.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut setakat ini belum dijawab secara rasmi oleh Encik Muhyiddin atau pimpinan tertinggi PN.
Sumber : Agensi berita/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita