Skip to main content

Dunia

Pemimpin Arab, Muslim ke Saudi bagi hadiri sidang puncak perang Timur Tengah

Para pemimpin Arab dan Muslim sudah mula tiba di Arab Saudi bagi sidang puncak yang dijadual berlangsung pada Isnin (11 Nov) yang akan memberi tumpuan kepada perang Israel di Gaza dan Lubnan.

Anggaran Waktu Membaca:
RIYADH: Para pemimpin Arab dan Muslim sudah mula tiba di Arab Saudi bagi sidang puncak yang dijadual berlangsung pada Isnin (11 Nov) yang akan memberi tumpuan kepada perang Israel di Gaza dan Lubnan.

Demikian menurut media negara Saudi.

Kementerian ehwal luar Arab Saudi mengumumkan sidang puncak itu pada lewat Oktober, semasa mesyuarat pertama "perikatan antarabangsa" yang menggesa bagi huraian dua negara kepada konflik Israel-Palestin.

Para hadirin akan "membincangkan serangan berterusan Israel ke atas wilayah Palestin dan Republik Lubnan, serta perkembangan semasa di rantau itu," menurut agensi rasmi Saudi Press Agency pada Ahad.

Sidah puncak itu diadakan setahun selepas perhimpunan serupa di Riyadh bagi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpangkalan di Kaherah, yang waktu itu para pemimpin mengutuk keras tindakan Israel di Gaza sebagai "kejam".

Saluran berita Al-Ekhbariya Saudi pada Ahad menyiarkan rakaman yang menunjukkan Presiden Nigeria Bola Tinubu dan Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati di Riyadh.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif juga dijadual hadir, menurut kementerian ehwal luar Pakistan pada minggu lalu, sambil menambah beliau merancang untuk menggesa "agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan serta merta" dan "segera menghentikan tindakan kejam Israel di rantau itu".

Dalam satu panggilan telefon dengan Putera Mahkota Saudi Mohamed bin Salman, Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata beliau tidak akan menyertai sidang puncak tersebut disebabkan "urusan penting" yang mendesak, menurut kenyataan pemerintah.

Encik Pezeshkian menarik perhatian bahawa Naib Presiden pertama Iran Mohammad Reza Aref akan hadir, sambil menyuarakan keyakinan bahawa mesyuarat itu "akan berkesan dan membawa hasil yang ketara untuk mengakhiri jenayah regim Zionis dan perang serta pertumpahan darah di Gaza dan Lubnan".

OIC dengan 57 negara anggita dan 22 Liga Arab termasuk negara-negara yang mengiktiraf Israel dan yang tegas menentang integrasinya di rantau tersebut.

Sidang puncak tahun lalu di Riyadh menyaksikan pertikaian tentang langkah-langkah seperti memutuskan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Israel serta mengganggu bekalan minyak.
Sumber : Bernama/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita