Skip to main content

Dunia

Pemimpin Arab, Islam akan bertemu di Qatar untuk kutuk serangan Israel

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin Arab, Islam akan bertemu di Qatar untuk kutuk serangan Israel

Gambar yang diambil dari jarak jauh menunjukkan sebuah bangunan yang rosak, di kawasan yang menempatkan pegawai Hamas, di ibu kota Qatar, Doha pada 10 Sep 2025, sehari selepas serangan Israel. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 13 Sep 2025 08:42PM Dikemas Kini : 13 Sep 2025 08:56PM
DOHA: Qatar pada Sabtu (13 Sep) mengumumkan bahawa ia akan menjadi tuan rumah bagi satu sidang puncak melibatkan para pemimpin Arab dan Islam untuk mengutuk serangan Israel terhadap para pegawai Hamas di Doha serta menunjukkan perpaduan dengan negara Teluk itu.

Mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada Isnin (15 Sep), akan membincangkan "rangka ketetapan mengenai serangan Israel terhadap Qatar" yang akan dilakarkan pada hari Ahad dalam satu mesyuarat peringkat menteri, kata jurucakap Kementerian Luar, Majed al-Ansari.

Sidang puncak itu mencerminkan "perpaduan Arab dan Islam yang meluas dengan Qatar dalam menghadapi pencerobohan Israel yang tidak bertanggungjawab... dan menolak secara mutlak keganasan yang dilakukan pemerintah Israel," kata beliau, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita rasmi QNA.

Antara pemimpin yang dijangka hadir termasuk Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani. Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan juga akan berada di Doha, tetapi kehadirannya dalam mesyuarat itu masih belum disahkan.

Sementara itu, Presiden Indonesia Prabowo Subianto tiba di Qatar pada hari Jumaat (12 Sep) sebagai menunjukkan perpaduan dengan Doha susulan serangan tersebut, sebelum meneruskan perjalanan melawat Amiriah Arab Bersatu.

Israel menyasarkan para pemimpin Hamas dalam serangan udara di Doha pada Selasa (10 Sep) lalu, yang mengorbankan lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar.

Serangan itu menerima kecaman antarabangsa secara meluas, termasuk daripada negara-negara Teluk yang bersekutu dengan Amerika Syarikat, iaitu penyokong utama Israel.

Qatar, yang menempatkan pangkalan tentera Amerika yang terbesar di rantau itu, memainkan peranan sebagai orang tengah dalam rundingan bagi menamatkan perang di Gaza, di samping Amerika Syarikat dan Mesir.

Para penganalisis berkata sidang puncak itu bertujuan menghantar isyarat jelas kepada Israel.

Serangan udara Israel itu "dilihat di seluruh Teluk sebagai satu pencabulan kedaulatan sesebuah negara yang belum pernah berlaku dan satu serangan terhadap prinsip diplomasi itu sendiri," kata Andreas Krieg dari King's College London, sambil menambah bahawa sidang puncak itu menandakan bahawa "pencerobohan sebegitu tidak boleh dijadikan perkara biasa."

"Matlamatnya adalah untuk menetapkan batasan yang jelas dan menolak tanggapan Israel bahawa mereka boleh bertindak sewenang-wenangnya tanpa sebarang akibat," katanya. "Kita boleh jangkakan satu pendirian yang lebih tegas terhadap isu Palestin dan pendekatan yang lebih berprinsip dalam menangani tindakan Israel."
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita