Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri terbunuh dalam serangan dron AS di Afghanistan

Pembunuhan pemimpin Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri tamparan terhebat bagi kumpulan militan itu sejak pengasasnya Osama bin Laden terbunuh pada 2011.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemimpin Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri terbunuh dalam serangan dron AS di Afghanistan

Ayman al-Zawahiri. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Aug 2022 07:52AM Dikemas Kini : 02 Aug 2022 07:52AM
WASHINGTON: Pemimpin Al-Qaeda Ayman al-Zawahiri terbunuh dalam serangan dron CIA di Afghanistan pada hujung minggu lalu, dedah para pegawai Amerika Syarikat (AS) pada Isnin (1 Ogos).

Ini menjadikannya tamparan terhebat terhadap kumpulan militan itu sejak pengasasnya Osama bin Laden terbunuh pada 2011.

Ayman, seorang pakar bedah asal Mesir yang diburu dengan upahan AS$25 juta (S$34 juta), membantu menyelaraskan serangan-serangan 11 Sep 2001, yang mengorbankan hampir 3,000 orang.

Salah seorang daripada pegawai AS, yang tidak mendedahkan identitinya, berkata CIA melancarkan serangan dron itu di ibu kota Afghanistan, Kabul, pada Ahad (31 Jul).

"Pada hujung minggu lalu, AS melancarkan operasi antipengganasan terhadap kubu penting Al-Qaeda di Afghanistan," menurut pegawai kanan pentadbirannya.

"Operasi itu berjaya dan tiada orang awam yang cedera," tambah pegawai itu.

Tidak segera diketahui bagaimana AS, yang tidak mempunyai tentera di lapangan, dapat mengesahkan bahawa Ayman terbunuh.

Terdapat beberapa khabar angin mengenai kematian Ayman sejak beberapa tahun lalu dan sudah lama dilaporkan kesihatannya kurang baik.

Kematiannya menimbulkan tanda tanya tentang sama ada Ayman mendapat tempat perlindungan daripada Taliban selepas kumpulan itu mengambil alih Kabul pada Ogos 2021.

Serangan dron itu adalah serangan pertama AS yang diketahui di dalam Afghanistan sejak tentera dan diplomat AS meninggalkan negara itu pada Ogos 2021.

Langkah itu mungkin mengukuhkan kredibiliti Washington bahawa AS masih boleh menangkis ancaman dari Afghanistan tanpa kehadiran tenteranya di negara itu.

Dalam kenyataannya, jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid mengesahkan serangan itu dilancarkan dan mengutuk sekeras-kerasnya langkah itu, dengan menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap "prinsip-prinsip antarabangsa".

Presiden AS Joe Biden akan menyampaikan kenyataannya pada Isnin sekitar 7.30 malam berhubung apa yang disifatkan Rumah Putih sebagai "operasi antipengganasan yang berjaya".

Letupan kuat juga didengar di seluruh Kabul pada awal pagi Ahad.

"Sebuah rumah diserang roket di Sherpoor. Tiada sesiapa yang dilaporkan cedera kerana rumah itu kosong," kata jurucakap kementerian ehwal dalam negeri, Abdul Nafi Takor.

Sumber Taliban, yang meminta agar identitinya tidak didedahkan, berkata terdapat beberapa laporan yang mendakwa sekurang-kurangnya satu dron diterbangkan di ruang udara Kabul pada pagi itu.

Bersama anggota kanan lain Al-Qaeda, Ayman dipercayai merancang serangan 12 Oktober 2000 ke atas kapal USS Cole di Yaman yang menyebabkan 17 kelasi AS maut dan lebih 30 yang lain cedera, menurut laman Rewards for Justice.

Dia didakwa di AS atas peranannya dalam pengeboman kedutaan-kedutaan AS pada 7 Ogos 1998 di Kenya dan Tanzania, yang menyebabkan 224 orang maut dan lebih 5,000 yang lain cedera.

Keberadaan Ayman - yang dikatakan di kawasan puak Pakistan atau dalam Afghanistan - tidak diketahui sehingga serangan itu.

Video yang dikeluarkan pada April, di mana dia memuji seorang wanita Islam India kerana membantah larangan memakai tudung, menyangkal khabar angin bahawa dia sudah meninggal dunia.

Kedua-dua Osama bin Laden dan Ayman al-Zawahiri mengelak daripada ditangkap apabila tentera yang dipimpin AS menumbangkan pemerintah Taliban di Afghanistan pada lewat 2001 menyusuli serangan 11 Sep di AS.

Osama bin Laden terbunuh pada 2011 oleh tentera AS di Pakistan.
Sumber : Reuters/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa