Pemilik premis makanan berdepan tindakan gantung ayat Al-quran kelirukan pelanggan
Seorang pemilik kedai makanan berdepan tindakan undang-undang selepas premis makanan miliknya di Seri Manjung, Manjung didapati mempamerkan ayat al-Quran sehingga mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam.
IPOH: Seorang pemilik kedai makanan berdepan tindakan undang-undang selepas premis makanan miliknya di Seri Manjung, Manjung didapati mempamerkan ayat al-Quran sehingga mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Manjung, Wan Muhammad Badro Wan Mahmod berkata sepasukan empat pegawai memeriksa premis itu pada 11.00 pagi Khamis (17 Sep) sebaik menerima aduan daripada orang awam.
Katanya, tindakan mempamerkan penggunaan ayat-ayat suci al-Quran di dalam premis adalah umpama satu dorongan bahawa makanan yang dijual di premis itu halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.
"Berdasarkan pemeriksaan, pemilik premis yang merupakan rakyat tempatan sudah beroperasi tiga tahun namun gagal menunjukkan perakuan atau pengesahan daripada Jabatan Agama Islam negeri yang melayakkannya menggunakan representasi ayat-ayat al-Quran di dalam premis," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Encik Wan Muhammad Badro berkata pemilik premis tersebut ditahan untuk diambil keterangan dan beberapa barangan dari premis terlibat disita bagi siasatan lanjut mengikut Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.
Katanya lagi, individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta (S$0.33 juta) atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menggunakan perbahasaan halal ke atas premis dan barang makanan serta perkhidmatan keluaran mereka selain meminta orang ramai supaya melaporkan sebarang maklumat berkaitan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.