Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemilik gerai guna daya kreatif perkenal set Menu Rahmah dibubuh nama Menteri M'sia

Menu Rahmah pada harga RM5 (S$1.53) dan ke bawah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak bulan lalu terus mendapat sokongan peniaga kedai makan dan restoran.

Anggaran Waktu Membaca:

CYBERJAYA: Menu Rahmah pada harga RM5 (S$1.53) dan ke bawah yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak bulan lalu terus mendapat sokongan peniaga kedai makan dan restoran.

Malah, dalam usaha memikat para pelanggan beberapa pengusaha menggunakan daya kreativiti untuk menamakan set Menu Rahmah yang dijual sempena nama menteri.

Pemilik dan pengurus, Warong Pecel Lele di Medan Selera TS Sport Arena misalnya menawarkan set hidangan Perdana Menteri berbeza setiap hari.

Antaranya set Perdana Menteri, Anwar Ibrahim (Isnin); Mohamad Sabu (Selasa); Anthony Loke (Rabu); Salahuddin Ayub (Khamis); Rafizi Ramli (Jumaat); dan Azalina Othman Said (Sabtu).

Set Perdana Menteri terdiri daripada nasi putih, ayam kari, sayur kacang dan sambal atau soto ayam; set Mohamad (nasi putih, ayam masak merah, sayur taugeh dan sambal atau lontong sayur); set Anthony (set pecel ayam atau gado gado); set Salahuddin (set pecel lele atau nasi putih, ayam goreng crispy dan sayur kangkung); set Rafizi (nasi putih, ayam masak kurma, sayur campur dan sambal atau mi ayam) dan set Azalina (nasi putih, ayam masak merah kicap, sayur bayam dan sambal).

Menurut pemilik dan pengurus gerai itu, Muhammad Syafiq Saifullah, 21 tahun, berkata pihaknya terbuka dan menyambut baik usaha kerajaan dalam membantu golongan sasar iaitu miskin dan B40.

"Apabila Menteri KPDN memperkenalkan Menu Rahmah ini, kami terus ambil langkah untuk menjualnya. Pada masa sama lebih pada nak membantu meringankan kos perbelanjaan makanan pengguna.

"Set makanan yang kami perkenalkan pelbagai dan banyak pilihan, tidak terhad pada satu menu saja. Malah, kami beri sentuhan dengan menamakannya dengan nama menteri.

"Alhamdulillah, sejak diwujudkan Menu Rahmah ini sambutan sangat menggalakkan. Apatah lagi menu yang ada dibuka sesuai untuk sarapan dan makan tengah hari," katanya seperti dinukil Harian Metro.

Pekerja swasta, Shazlien Adnan, 26 tahun, berkata beliau berpuas hati dengan set makanan yang ditawarkan dalam Menu Rahmah.

"Saya tahu mengenai kewujudan Menu Rahmah, tapi ini baru kali pertama membelinya. Agak terkejut juga sebab set ditawarkan pelbagai dan kena dengan cita rasa. Saya ingatkan terhad.

"Bagi saya, dengan tawaran harga RM5 ini ia sangat berbaloi. Malah, jauh lebih jimat. Kalau sebelum ini saya berbelanja untuk satu set makanan mencecah RM10 (S$3.07), tapi sekarang boleh buat dua kali makan. Dapat berjimat juga.

"Usaha ini pastinya memudahkan lagi golongan yang kurang berkemampuan termasuk pelajar. Jadi, harapnya ada lebih banyak lagi kedai makan yang menawarkan Menu Rahmah ini," katanya kepada Harian Metro.

Seorang lagi peniaga, Rahashidan Harun, 52 tahun, mengetahui mengenai Menu Rahmah daripada anaknya.

"Sebelumnya, semua kedai makan di sini harga biasa saja. Tapi, selepas anak beritahu ada kedai makan yang tawarkan Menu Rahmah, itu yang datang nak beli.

"Sebenarnya, bagus juga kerajaan memperkenalkan Menu Rahmah ini. Apatah lagi sekarang kos sara hidup pun tinggi dan ramai rakyat yang susah. Sekurang-kurangnya, menu diperkenalkan dapat membantu dan menjimatkan pengguna.

"Dengan tawaran set makanan RM5 bagi saya ia berbaloi. Menu pun menarik, nasi banyak dan ayam pun besar," katanya.

Sumber : Agensi berita/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan