Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemilihan UMNO sebelum pilihan raya umum boleh cetus keretakan parti, kata Najib

Pemilihan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 boleh membawa keretakan dan memecah-belahkan parti selain membolehkan calon yang kalah ‘dicuri’ oleh parti lain, kata Ketua Bahagian UMNO Pekan Encik Najib Razak.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilihan UMNO sebelum pilihan raya umum boleh cetus keretakan parti, kata Najib

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 31 Mar 2021 09:01AM Dikemas Kini : 31 Mar 2021 09:04AM

KUALA LUMPUR: Pemilihan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 boleh membawa keretakan dan memecah-belahkan parti selain membolehkan calon yang kalah ‘dicuri’ oleh parti lain, kata Ketua Bahagian UMNO Pekan Encik Najib Razak.

Bekas presiden parti itu berkata banyak pihak sedang menunggu untuk melemahkan UMNO dengan cara sedemikian.

“... dia (parti lain) akan tunggu pemilihan dalam UMNO, jadi serpihan daripada mereka yang kalah itu akan dipelawa atau dipujuk atau ditawar untuk masuk parti mereka,” katanya kepada pemberita selepas ucaptama bagi majlis penutup Forum Demokrasi Malaysia: Merangka Masa Depan Demokrasi Parlimen di Malaysia di sini pada Selasa (30 Mac).

Bekas perdana menteri itu berkata demikian sebagai mengulas gesaan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang mahu pucuk pimpinan UMNO agar mengadakan pemilihan parti itu dengan segera bagi menyelesaikan kemelut dalamannya.

Encik Khairy berkata pemilihan seharusnya dijalankan tahun ini tanpa perlu menunggu selepas PRU yang akan datang.

Encik Najib turut menyentuh keperluan menggubal akta Parlimen bagi mengawal selia sumbangan dan pembiayaan politik sebagai menjalankan aktiviti politik sama seperti aktiviti lain yang melibatkan kos.

“Sekiranya anda adalah entiti perniagaan, anda mencari dana dengan menjual ekuiti, berhutang dan menerusi pelbagai aktiviti kutipan derma. Tetapi persoalannya sekarang ialah bagaimana sesebuah parti politik melakukannya, dan berbuat demikian dalam skala yang cukup besar bagi menampung kos yang berkaitan?

“Jadi, jika seseorang ingin menyaksikan kematangan demokrasi kita sebagai demokrasi yang moden dan berfungsi, kita perlu mengawal selia semua aktiviti yang dikaitkan dengan pembiayaan politik. Kita tidak boleh lantang bersuara mengenai keyakinan kita mengenai ketelusan dan tadbir urus kecuali kita turut bersetuju untuk menerapkan mekanisme ini,” katanya.

Ketua Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula bersetuju pemilihan UMNO dipercepat dengan syarat pemimpin yang mempunyai jawatan dalam kerajaan mengundurkan diri.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 berkata pemilihan parti perlu diadakan pada tahun ini tetapi keutamaan harus diberikan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.
 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan