Skip to main content

Dunia

Pemilihan UMNO Penggal 2021/2023 mungkin diadakan Nov tahun depan

Pemilihan UMNO bagi Penggal 2021/2023 mungkin diadakan pada November tahun depan, kata Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilihan UMNO Penggal 2021/2023 mungkin diadakan Nov tahun depan

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan (tengah) hadir di perasmian Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau pada 12 Dis 2021. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Dec 2021 06:23PM Dikemas Kini : 12 Dec 2021 06:24PM

SEREMBAN: Pemilihan UMNO bagi Penggal 2021/2023 mungkin diadakan pada November tahun depan, kata Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan.

Beliau berkata ia perlu diadakan sebelum tamat tempoh semasa iaitu pada Disember 2022.

Justeru, pemilihan peringkat cawangan perlu diadakan awal iaitu selewat-lewatnya pada Julai, katanya kepada para wartawan selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Rembau di Seremban hari ini (12 Dis).

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan beberapa UMNO bahagian yang meminta pemilihan parti diadakan sekurang-kurangnya setahun sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketika ditanya mengenai sama ada terdapat usul supaya lima jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang di Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini, Encik Mohamad menjawab tiada cadangan seumpama itu diterima setakat ini.

Sementara itu, mengenai permohonan UMNO Selangor yang mahu diberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN), Encik Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan di peringkat pusat.

“Perkataan autonomi itu besar, kalau mahu bersama PAS tiada isu, kenapa perlu minta autonomi...minta untuk berunding terus dengan PAS, itu tidak mengapa.

“Tiada arahan daripada parti untuk kita memutuskan hubungan atau mengkaji semula dengan PAS,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi UMNO Selangor Noh Omar berharap pucuk pimpinan tertinggi parti itu memberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan PAS di negeri itu menerusi MN kerana kerjasama antara UMNO dengan PAS di negeri itu kini amat baik dan dilihat lebih berkesan.

Encik Mohamad berkata hubungan UMNO dan PAS dalam MN masih seperti biasa dan tiada keputusan dibuat mengenai masa depan kedua-dua parti itu.

"Orang ingat MN itu satu pertubuhan berdaftar, kita tidak berdaftar, ia hanya sebagai platform untuk kita menjalinkan kerjasama. Setakat ini UMNO tidak ada memutuskan apa-apa hubungan, begitu juga PAS belum memutuskan apa-apa hubungan, jadi kita macam biasa.

“MN ini persefahaman untuk menyatupadukan umat Melayu dan Islam, tiada ikatan perjanjian yang mengikat (kedua-dua parti) tetapi atas persefahaman supaya kita orang Melayu dan Islam jangan berpecah, bukan sahaja dalam politik tetapi dalam banyak hal lagi,” ujarnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita