Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru ditangguh selepas berlaku pertambahan bilangan kertas undi

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang berlangsung di sebuah hotel di bandar raya negeri tersebut pada Sabtu (18 Mac) ditangguh dan digantung.

Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru, Azmi Samin, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas berlaku pertambahan bilangan kertas undi melibatkan perwakilan yang hadir.

"Keputusan ini muktamad dan kami akan menunggu arahan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) Pusat.

"Keputusan ini dibuat kerana jumlah perwakilan yang berdaftar pagi tadi untuk mengundi adalah seramai 523 orang, namun setelah kiraan dibuat jumlahnya mencecah 590 kertas undi.

"Sehubungan itu, saya umumkan pemilihan melibatkan Bahagian Johor Bahru kali ini ditangguh dan digantung. Proses seterusnya adalah untuk dimaklumkan kepada JPU pusat dan kita tunggu siasatan JPU pusat," katanya, lapor agensi berita Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan penangguhan dan penggantungan itu selepas pengiraan selesai dibuat pada pukul 10.15 malam Sabtu.

Keputusan itu menyaksikan pemilihan melibatkan kesemua jawatan yang dipertandingkan terjejas, khususnya jawatan Ketua UMNO Bahagian, Timbalan Ketua UMNO Bahagian serta Naib Ketua UMNO Bahagian.

Sementara itu, Pengerusi JPU Johor Bahru Sonawan Mad Som pula bersumpah bahawa pihaknya tidak terlibat dengan sebarang tindakan salah laku melibatkan pemilihan bahagian berkenaan.

"Apabila dibuat pengiraan memang ada banyak beza. Kalau setakat lima atau enam undi saya tidak terperanjat, tetapi ini jumlahnya sehingga 30, 40 keping. Jadi saya sendiri terperanjat kerana kami memang menjaga perjalanan proses.

"Saya berani sebut memang tiada seorang daripada petugas kami yang membuat kerja bukan-bukan ini," ujarnya sambil turut melafazkan sumpah laknat, lapor agensi berita Sinar Harian.

Difahamkan, insiden itu pertama kali berlaku dalam sejarah UMNO Bahagian Johor Bahru.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan