Skip to main content

Dunia

Pemilihan PKR bermula hari ini

Pemilihan PKR bagi peringkat pusat dan cabang bermula hari ini (22 Sep) dengan menyaksikan anggota parti di Kedah dan Pulau Pinang memulakan pengundian mereka seawal jam 9.00 pagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pemilihan PKR bermula hari ini

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 22 Sep 2018 10:15AM Dikemas Kini : 22 Sep 2018 10:18AM

KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR bagi peringkat pusat dan cabang bermula hari ini (22 Sep) dengan menyaksikan anggota parti di Kedah dan Pulau Pinang memulakan pengundian mereka seawal jam 9.00 pagi.

Tumpuan pastinya terarah kepada perebutan jawatan timbalan presiden selepas Encik Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden pada penamaan pemilihan 5 Ogos lalu.

Pertarungan jawatan nombor dua parti itu menyaksikan pertembungan antara Anggota Parlimen Gombak yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan bekas Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Selain jawatan tersebut, pengundian itu turut membabitkan pemilihan naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat, ketua Wanita pusat dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pada pemilihan itu juga, para anggota akan memilih pemimpin di peringkat cabang iaitu ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan 15 anggota jawatankuasa cabang, selain ketua AMK cabang, timbalan ketua AMK cabang, naib ketua AMK cabang dan 15 anggota jawatankuasa AMK cabang.

Turut dipilih ialah ketua wanita cabang, timbalan ketua wanita cabang, naib ketua wanita cabang dan tujuh anggota jawatankuasa wanita cabang.

Selain itu, pengundian kali ini juga akan menjadi penanda aras kejayaan sistem e-undi yang buat pertama kali dilaksanakan oleh parti itu, bahkan pertama kali di negara ini.

Seramai 800,000 anggota PKR seluruh negara layak mengundi pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung sehingga 28 Oktober depan.

Bagi negeri-negeri lain, pemilihan akan berlangsung di Perlis dan Perak pada 23 September, Melaka (29 Sep), Johor (30 Sep), Kelantan dan Terengganu (5 Okt), Pahang (6 Okt), Wilayah Persekutuan (7 Okt), Selangor (13-14, 21 Okt), Negeri Sembilan (20 Okt), Sarawak (20, 21 Okt) dan Sabah (27, 28 Okt). 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita