Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemerintah Syria tuduh kumpulan bersenjata lancar serangan 'gas toksik'

Pemerintah Syria menuduh kumpulan-kumpulan bersenjata melancarkan serangan "gas toksik" yang menyebabkan berpuluh-puluh orang mengalami kesukaran bernafas. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah Syria tuduh kumpulan bersenjata lancar serangan 'gas toksik'

Seorang budak lelaki warga Syria menerima rawatan di hospital Aleppo. (Gambar: George Ourfalian/AFP)

Diterbitkan : 26 Nov 2018 09:12AM Dikemas Kini : 26 Nov 2018 09:17AM

DAMASCUS: Pemerintah Syria menuduh kumpulan-kumpulan bersenjata melancarkan serangan "gas toksik" yang menyebabkan berpuluh-puluh orang mengalami kesukaran bernafas. Tindakan itu sekali gus mencetuskan serangan balas Rusia, sekutu Damsyik, pada Ahad (25 Nov).

Sekitar 100 warga Syria dirawat di hospital kerana mengalami masalah pernafasan di bandar Aleppo yang dikuasai pemerintah pada Sabtu (24 Nov). Demikian menurut media negara Syria dan pihak pemantau.

Rusia menuduh "kumpulan-kumpulan pengganas" sebagai dalang di sebalik serangan kimia klorin tersebut. Serangan balas Mosko itu yang pertama sejak beberapa bulan ke atas kawasan yang menjadi kubu kumpulan penentang di barat bandar berkenaan.

Tuduh menuduh tentang siapakah yang bersalah dalam serangan kimia tersebut merupakan yang terbaru dalam perang saudara Syria, yang sudah meragut nyawa lebih 360,000 orang dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Agensi berita negara SANA melaporkan "107 kes orang mengalami kesukaran bernafas", yang mana disebutkan pegawai kesihatan Ziad Hajj Taha sebagai "kemungkinan" serangan bahan klorin di bandar Aleppo.

Pasukan pemantau hak-hak kemanusiaan Syria, yang berpangkalan di Britain, menyatakan 94 orang dirawat di hospital setelah "bau klorin" dilaporkan di bandar itu, tetapi kebanyakan mereka sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Pada Sabtu (24 Nov), seorang jurugambar AFP melihat beberapa puluh orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, memasuki sebuah hospital di Aleppo, ada diusung atau didukung saudara saudara mara mereka.

Mereka yang cedera kelihatan seakan mengalami kesukaran bernafas.

Kakitangan hospital memberikan topeng oksigen, di mana mereka bernafas selama 15 minit, dalam keadaan duduk atau terbaring.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan