Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemerintah Perancis gesa kumpulan berisiko tinggi dapatkan suntikan dos penggalak ke-2 COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

PARIS: Jurucakap pemerintah Perancis, Olivier Veran, pada Khamis (1 Dis) menggesa kumpulan-kumpulan berisiko tinggi supaya mendapatkan satu lagi dos penggalak COVID-19 sebelum musim cuti. 

Sebagai mantan menteri kesihatan negara itu, agensi berita Xinhua memetik kata-kata Encik Veran bahawa hanya 20 peratus kumpulan berisiko tinggi di Perancis sudah menerima suntikan dos penggalak kedua mereka di tengah-tengah gelombang baru COVID-19 dan epidemik demam selesema musiman. 

"Jika anda berusia 60 tahun dan ke atas, jika anda adalah pembawa sebarang penyakit atau jika anda berurusan setiap hari dengan mereka yang mudah dijangkiti atau warga emas, dapatkan dos penggalak kedua vaksin COVID-19 sekiranya belum berbuat demikian," kata bekas menteri kesihatan Perancis itu. 

"Ia akan mengurangkan risiko kerumitan dan kemasukan ke hospital," tambah Encik Veran. 

Kini, terdapat subvarian yang sedang pantas merebak di Perancis, tekannya. "Kami menyaksikan jumlah pesakit di unit jagaan rapi (ICU) berkaitan dengan COVID-19 naik 20 peratus, sekali gus melemahkan sistem kesihatan kami," katanya. 

Menurut pakar imunologi Perancis, Brigitte Autran, subvarian Omicron BA.5, yang dominan di Perancis, sudah digantikan dengan subvarian BQ.1.1.

Agensi kesihatan awam Perancis pada Khamis (1 Dis) mengumumkan bahawa hampir 70,000 kes baru COVID-19 dilaporkan di Perancis pada tempoh 24 jam. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan