Pemerintah kurangkan bekalan tanah rumah privet; permintaan makin lembab
Pemerintah memutuskan untuk mengurangkan bekalan rumah privet bagi separuh kedua 2019, sedang permintaan terus merosot. Demikian pengumuman Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Khamis (6 Jun).
SINGAPURA: Pemerintah memutuskan untuk mengurangkan bekalan rumah privet bagi separuh kedua 2019, sedang permintaan terus merosot. Demikian pengumuman Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada Khamis (6 Jun).
Sebanyak 13 tapak tanah, terdiri daripada lima tapak yang diluluskan dan lapan tapak simpanan, dilancarkan penjualannya pada hari ini di bawah program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) bagi separuh kedua 2019.
Tapak-tapak tersebut boleh menampung 6,430 rumah privet, turun sedikit daripada program GLS sebelumnya untuk separuh pertama tahun 2019 yang menyaksikan 14 tapak dilancarkan dengan jumlah bekalan serupa dijangka sebanyak 6,475.
Kesemua 13 tapak itu juga dijangka menyediakan kawasan lantai komersil seluas 92,000 kaki persegi dan 1,100 bilik hotel.
Lima tapak senarai yang diluluskan adalah tapak perumahan privet - termasuk satu tapak kondominium eksekutif (EC) - yang boleh membangunkan kira-kira 1,715 unit perumahan privet, menurut MND. Ini termasuk 480 unit EC.
Senarai simpanan terdiri daripada empat tapak kediaman privet termasuk satu tapak EC. Tapak-tapak tersebut boleh menghasilkan kira-kira 4,715 unit kediaman privet - termasuk 595 unit EC dan kira-kira 1,000 unit dari fasa pertama tapak Kampong Bugis yang akan datang.
Kemerosotan pada permintaan itu menyusuli penguatkuasaan langkah-langkah meredakan pasaran hartanah pada Julai tahun lalu. Jumlah urus niaga keseluruhan merosot tiga suku berturut-turut pada suku pertama 2019. Pada masa yang sama, permintaan tanah oleh para pemaju juga sederhana.
Di samping itu, terdapat kira-kira 44,000 rumah privet yang sedang dirancangkan. Ini termasuk kira-kira 39,000 unit tidak terjual daripada GLS dan tapak penjualan en-bloc dengan kelulusan perancangan serta 5,000 daripada tapak yang sedang menanti kelulusan.
Lagi 24,000 rumah privet masih belum dihuni.
Menurut MND: "Atas faktor-faktor ini, Pemerintah memutuskan untuk mengurangkan bekalan unit perumahan privet pada senarai yang diluluskan bagi Program GLS."
"Bersama-sama dengan bekalan yang dalam perancangan, bekalan untuk program GLS bagi separuh kedua 2019 akan menyediakan bekalan perumahan yang secukupnya untuk penduduk kami."
Ia menambah: "Pemerintah akan terus memerhatikan pasaran hartanah dengan teliti dan menyesuaikan bekalan daripada program-program GLS masa depan, jika perlu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.