Pemerintah Indonesia tegas tiada kaitan dengan mesyuarat 5 aktivis Islam bersama Presiden Israel
Encik Zainul Maarif dan empat lagi ulama Nahdlatul Ulama mengadakan pertemuan dengan Presiden Israel Isaac Herzog. (Gambar: zenmaarif/Instagram)
Indonesia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan masih lantang mengutuk serangan Israel ke atas Gaza, sedang ia menyediakan bekalan bantuan kepada rakyat Palestin.
Pemerintah Indonesia telah mengesahkan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan lawatan oleh lima aktivis Nahdlatul Ulama (NU), sambil menegaskan bahawa ia tidak mencerminkan pendirian rasmi pemerintah itu.
"Kementerian Luar tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas mengenai lawatan itu, yang tidak ada kaitan sama sekali dengan pendirian rasmi pemerintah Indonesia," jelas jurucakap kementerian Roy Soemirat sepertimana dilaporkan saluran berita Kompas.
Lawatan berkenaan mendapat perhatian setelah seorang peserta, ulama NU, Zainul Maarif, berkongsi gambar yang diambil dengan Encik Herzog di Instagram pada 7 Jul. Ia sekali gus mengundang kecaman hebat daripada orang ramai, sehinggakan memaksa beliau untuk nyahaktifkan komen di akaunnya.
Selain Encik Zainul, yang merupakan pensyarah falsafah di Universiti Nahdlatul Ulama Indonesia (Unusia), empat aktivis lain yang bertemu secara empat mata bersama Encik Herzog termasuk Encik Munawir Aziz, Cik Nurul Bahrul Ulum, Encik Syukron Makmun dan Cik Izza Annafisah Dania.
Masih tidak diketahui bila mesyuarat tersebut diadakan. Walau bagaimanapun, Encik Zainul, menerusi catatan di Instagramnya, mengatakan bahawa mereka telah berbincang mengenai konflik Hamas-Israel itu serta hubungan antara Indonesia dan Israel.
"Saya bukan penunjuk perasaan, tetapi seorang ahli falsafah agama. Daripada berdemonstrasi di jalanan dan memboikot, saya lebih suka berbincang dan menyatakan idea," ujarnya.
Menurut seorang ulama NU Nadirsyah Hosen, program lawatan ke Israel oleh para cendekiawan Indonesia telah dijalankan selama beberapa tahun. Ia bagaimanapun sering dipalit kontroversi setiap kali lawatan sedemikian diketahui umum.
Lawatan oleh lima aktivis baru-baru ini dikatakan dilakukan dalam kapasiti peribadi mereka, tetapi NU dan pemimpin Islam di Indonesia mengatakan bahawa mereka menyedari kesan keputusan mereka untuk melakukan lawatan sedemikian.
Meskipun mereka secara peribadi diundang melalui rangkaian alumni Harvard untuk tujuan akademik dan syarikat pemula, menurut Dr Nadirsyah, hubungan mereka dengan NU menjadi sebab utama mereka diundang.
"Jika mereka hanya 'aktivis dan ulama', saya yakin mereka tidak akan diundang berjumpa dengan presiden. Ini kerana mereka adalah anggota NU yang mereka diundang," kata Dr Nadirsyah, yang juga profesor madya di Sekolah Undang-Undang Melbourne menerusi catatan di Instagramnya.
Para pemimpin dan anggota NU sepatutnya menolak undangan sedemikian selagi mana konflik di Gaza masih berterusan, menurut pandangan Dr Nadirsyah.
"Satu-satunya yang mendapat manfaat (daripada program lawatan ini) ialah Israel dengan lawatan dari NU," katanya.
Majlis Ulama Indonesia (MUI), sebuah badan ulama terkemuka di negara itu, menyatakan bahawa ia "amat dikesali)" berhubung lawatan tersebut ketika puluhan ribu rakyat Palestin dibunuh oleh Israel.
Pengerusi NU Syafi Alielha menekankan bahawa mesyuarat tersebut menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap keadaan geopolitik dan dasar NU, sambil menambah bahawa ia tidak mewakili pertubuhan tersebut.
"Kami tidak tahu apa tujuannya dan siapa yang menajanya. Ini satu tindakan yang dikesali," tegasnya dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan di laman NU pada Ahad (14 Jul).
Setiausaha Agung NU Saifullah Yusuf pula berkata pada hari berikutnya bahawa NU sedang mendapatkan daripada lima aktivis terbabit.
Jika didapati melanggar sebarang prinsip pertubuhan tersebut, mereka boleh dipecat daripada jawatan NU mereka, jelasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.