Pemerintah Indonesia dengar tuntutan wakil pertubuhan pelajar susuli bantahan ganas di seluruh negara
Pemerintah Indonesia mengadakan pertemuan dengan para wakil dari pelbagai pertubuhan pelajar pada Khamis (4 Ogos) untuk mendengar tuntutan dan aspirasi mereka.
Para aktivis dalam bantahan terhadap faedah penggubal undang-undang di luar Bangunan Parlimen Indonesia di Jakarta pada 3 Sep 2025. (Gambar: REUTERS/Willy Kurniawan)
Langkah tersebut dilihat sebagai satu lagi usaha untuk meredakan ketegangan yang mencetuskan bantahan ganas di merata Indonesia minggu lalu.
Para pelajar antara lain menuntut agar dibentuk sebuah pasukan penyiasat berhubung dakwaan berlakunya pengkhianatan dan supaya Rang Undang-Undang Perampasan Aset segera diluluskan.
Ini menyusuli tunjuk perasaan besar-besaran baru-baru ini bagi membantah keistimewaan dan faedah yang diberi kepada para anggota parlimen Indonesia atau DPR yang dianggap terlalu berlebihan.
Menurut Timbalan Speaker DPR, yang juga anggota kanan parti politik Presiden Prabowo Subianto, Sufmi Dasco Ahmad, pihaknya sudahpun memansuhkan beberapa perkara berkaitan tuntutan tersebut.
"Kami telah berkoordinasi dengan seluruh pimpinan DPR beberapa waktu ini dan kami sampaikan beberapa hal yang sudah kami akan lakukan.
"Pertama, melakukan penilaian menyeluruh terhadap tunjangan anggota dewan dan khusus untuk tunjangan perumahan dihentikan perhitungan sejak tanggal 31 Ogos 2025.
"Kedua, moratorium kunjungan perjalanan ke luar negeri anggota DPR serta melakukan kecekapan keuntungan kerja di dalam negeri," kata Encik Sufmi.
Berkaitan tunjuk perasaan ganas itu juga, seorang pegawai polis yang memandu kenderaan yang melanggar seorang pekerja penghantaran, sudah dipecat.
Cosmas G Kae didapati bertanggungjawab ke atas kematian Affan Kurniawan, 21 tahun, semasa tunjuk perasaan minggu lepas.
Kematian itu kemudian mencetuskan rusuhan di beberapa bandar Indonesia dan meragut lebih banyak nyawa.
Prosiding ke atas lagi lima anggota polis yang merupakan para penumpang kenderaan yang sama, sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.