Skip to main content

Dunia

Pemerintah Indonesia berdepan bantahan berhubung import lori India bernilai AS$2.4 bilion

Anggaran Waktu Membaca:
Pemerintah Indonesia berdepan bantahan berhubung import lori India bernilai AS$2.4 bilion
Kakitangan Agrinas Pangan Nusantara memeriksa sebuah lori pikap Mahindra Scorpio di pejabat syarikat itu di Jakarta pada 25 Feb 2026. (Gambar: CNA/Ridhwan Siregar)

JAKARTA: Langkah Indonesia untuk mengimport sehingga 105,000 lori pikap dari India bagi menyokong rancangan Presiden Prabowo Subianto membantu masyarakat di luar bandar melalui Koperasi Desa Merah Putih mencetuskan tentangan politik dan kebimbangan yang semakin meningkat dalam industri.

Pengkritik melahirkan kebimbangan bahawa import tersebut boleh menjejas industri automotif domestik, meskipun syarikat milik negara di sebalik perolehan bernilai 40 trilion rupiah (S$2.9 bilion) itu menegaskan ia bertindak secara sah dan demi kepentingan negara.

Tempahan itu - yang dibuat kepada dua syarikat India berbeza - dilakukan oleh syarikat milik negara Agro Industri Nasional (Agrinas), yang ditubuhkan tahun lalu untuk menyokong keselamatan makanan, tenaga dan air di rantau itu.

Agrinas menyatakan lori tersebut akan menyokong program koperasi pemerintah - dikenali sebagai Koperasi Desa Merah Putih - inisiatif utama pentadbiran Encik Prabowo yang bertujuan memperkukuh rantaian bekalan luar bandar dan meningkatkan keselamatan makanan.

Presiden Prabowo menetapkan visi untuk menjadikan Indonesia mencapai sara diri (self-sufficient) makanan dalam tempoh empat atau lima tahun selepas mengangkat sumpah pada Oktober 2024.

Pentadbirannya memberi tumpuan untuk mencapai sara diri makanan secepat mungkin, dengan menyasarkan untuk mencapai sara diri beras dalam jangka pendek melalui peningkatan pengeluaran negara, mengoptimumkan penggunaan tanah dan memperkukuh kampung dan gudang makanan negara.

Namun, pemerhati yang ditemui Mediacorp berkata langkah mengimport lori pikap dari India bercanggah dengan usaha Encik Prabowo memperkukuh perindustrian domestik dan mengutamakan pengeluaran tempatan, dengan ada yang menggesa pemerintah menilai semula rancangan tersebut.

Ini termasuk menangguhkan proses perolehan atau membatalkan kontrak sepenuhnya.

“Saya tidak fikir ini perlu bagi industri domestik,” kata pengarah eksekutif badan pemikir Pusat Pengajian Ekonomi dan Undang-Undang (CELIOS).

“Terdapat potensi kerugian ekonomi sekitar 39 trilion rupiah (S$2.9 bilion) daripada peluang pekerjaan yang sepatutnya boleh diwujudkan sekiranya kenderaan itu dihasilkan di Indonesia.”

Beliau menambah bahawa import tersebut akan mewujudkan persaingan dengan pengeluar tempatan dan berpotensi menyebabkan kira-kira 330,000 pekerja diberhentikan.

PERJANJIAN

Pengeluar automotif India mengumumkan perjanjian eksport ke ekonomi terbesar Asia Tenggara itu pada awal Februari, sebelum pihak berkuasa Indonesia membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai perolehan tersebut.

Pada 4 Februari, Mahindra & Mahindra dalam satu kenyataan media menyatakan ia akan membekalkan 35,000 unit lori pikap model Scorpio kepada Agrinas tahun ini, sambil menyifatkannya sebagai tempahan eksport terbesar dalam sejarah syarikat itu.

Syarikat India itu menyatakan perjanjian tersebut penting bagi memperkukuh rantaian bekalan luar bandar Indonesia kerana ia akan memudahkan perdagangan di peringkat desa serta menyokong transformasi keselamatan makanan negara itu.

“Kami menantikan kerjasama ini dan menyokong Koperasi Indonesia melalui perkongsian dengan Agrinas Pangan Nusantara,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Divisyen Automotif Mahindra & Mahindra, Nalinikanth Gollagunta.

“Dengan penggunaan lori pikap Scorpio sebagai sebahagian daripada Koperasi, kami memperkukuh rangkaian logistik yang diyakini bagi menghubungkan petani ke pasaran dengan lebih cekap.”

Lori pikap Scorpio itu dihasilkan di kilang Nashik, India dan akan disesuaikan untuk memenuhi keperluan operasi koperasi, termasuk laluan luar bandar dan kawasan pertanian.

Empat hari kemudian, Tata Motors mengesahkan perjanjian untuk membekalkan 70,000 kenderaan ke Indonesia, terdiri daripada 35,000 lori pikap Tata Yodha dan 35,000 lori Ultra T.7.

Pengarah PT Tata Motors Distribusi Indonesia, Asif Shamim, berkata kedua-dua model itu direka untuk prestasi berterusan, tahap operasi tinggi dan kecekapan kos.

“Penggunaannya akan menyokong logistik pertanian di Indonesia dengan meningkatkan keterhubungan serta pergerakan barangan yang lebih cekap di rangkaian luar bandar dan serantau.”

Pengumuman kedua-dua syarikat itu bermakna Indonesia akan mengimport sebanyak 105,000 kenderaan dari India.

Sumber : CNA/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita