Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemerintah Indonesia bakal libatkan polis dalam tangani kes buli di sekolah

Anggaran Waktu Membaca:

JAKARTA: Kes buli terbaharu di Indonesia yang tular di media sosial mendorong pemerintah Indonesia untuk melibatkan pihak polis untuk menangani isu tersebut di sekolah-sekolah.

Ia juga menyebabkan speaker Dewan Rakyat Puan Maharani untuk menyifatkan isu itu sebagai "kecemasan" yang memerlukan pemerintah untuk melakarkan "huraian menyeluruh" kepada masalah tersebut.

Pada Selasa (3 Okt), Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia Muhadjir Effendy, dipetik oleh agensi berita tempatan Antara, yang berkata bahawa pembuli patut didakwa di bawah sistem keadilan juvana negara tersebut.

"Saya akan ... berbincang dengan ketua Polis Negara supaya para pegawai boleh lebih terlibat dalam mengatasi kes buli di sekolah," katanya.

Menurut Antara, kementerian Encik Effendy, serta kerjasama dengan beberapa kementerian dan institusi lain, juga sedang berusaha untuk menghasilkan langkah-langkah pemulihan untuk pembuli.

Beliau berkata, salah satu sebab mengapa ia sukar untuk mencegah kes buli di sekolah adalah kurangnya langkah-langkah pemulihan. Ia menambah bahawa ia tidak cukup untuk bergantung kepada sekolah dan keluarga pelajar untuk menghentikan kelakuan ganas tersebut.

Kes buli Cilacap tular pada September selepas sebuah rakaman empat minit tular di media sosial, yang menunjukkan dua pelajar yang memukul seorang lagi pelajar sehingga dia terjatuh.

Dr Topo Santoso, seorang profesor undang-undang jenayah di Universiti Indonesia, memberitahu Mediacorp bahawa keputusan pemerintah untuk melibatkan polis bermaksud mereka boleh bekerjasama untuk melaksanakan dasar antibuli menyeluruh, yang "menekankan pencegahan, pengesanan awal, dan tindakan sesuai untuk pelakunya".

Selain itu, gerakan antibuli, Sudah Dong, memberitahu Mediacorp bahawa isu yang perlu ditangani termasuk penguatkuasaan undang-undang dan dasar antibuli yang tidak konsisten di Indonesia, serta halangan untuk melaporkan kes sedemikian, dan lain-lain lagi.

Cik Tantri, pengarah program di Sudah Dong, menekankan bahawa undang-undang sedia ada juga kurang memberi sokongan kepada pelaku.

"Meskipun ia penting untuk mempertanggungjawabkan pelaku, pihak bertanggungjawab harus campur tangan dan menangani punca kelakuan tersebut, seperti program kaunseling dan pemulihan," kata Cik Tantri.

Jurang yang terdapat pada undang-undang sedia ada termasuk keperluan untuk meningkatkan kesedaran tentang hak dan perlindungan pelajar terhadap buli, keperluan untuk menjalankan lebih banyak program sokongan rakan, serta pengumpulan data dan kajian menyeluruh yang dikemas kini. Ia bertujuan untuk menghasilkan dasar berdasarkan bukti dan pencegahan, tambahnya.

Pada waktu ini, Indonesia mempunyai sejumlah langkah-langkah sedia ada untuk mengatasi kes buli di sekolah dan membantu mangsa buli.

Menurut Cik Tantri, ini termasuk kempen anti buli kebangsaan, talian untuk melaporkan insiden buli, serta rangka kerja sah melalui Undang-Undang Pendidikan, Undang-Undang terhadap perlindungan kanak-kanak dan Kanun Jenayah.


Menurut Jakarta Post, yang merujuk kepada Gabungan Persatuan Guru-Guru Indonesia (FSGI), sebanyak 23 kes buli dicatat di sekolah tahun ini, 50 peratus daripadanya berlaku di sekolah menengah.

"Seorang pelajar sekolah rendah dan satu lagi pelajar maktab rendah meninggal dunia tahun ini akibat serangan oleh rakan mereka," kata setiausaha agung FSGI Heru Purnomo dalam satu kenyataan pada Isnin (2 Okt), lapor Jakarta Post.

"Seorang lagi pelajar mengalami kelecuran teruk selepas dibakar pelajar lain. Buli juga menyumbang kepada kes bunuh diri dua pelajar tahun ini."

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan