Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pemerintah Hong Kong lanjutkan sekatan COVID-19 hingga 5 Okt

Penduduk Hong Kong masih perlu mengekalkan langkah-langkah jarak selamat dan diwajibkan memakai pelitup dalam kenderaan dan di tempat-tempat awam yang dikhususkan.

Anggaran Waktu Membaca:
 Pemerintah Hong Kong lanjutkan sekatan COVID-19 hingga 5 Okt

Orang ramai di kawasan membeli-belah di Hong Kong pada 5 Sep 2022. (Gambar fail: AFP/Issac Lawrence)

HONG KONG: Pemerintah Hong Kong mengumumkan pada Selasa (20 Sep) bahawa ia akan mengekalkan langkah-langkah jarak selamat sedia ada dari 22 Sep hingga 5 Okt.

"Epidemik ini sudah mula stabil dan mula menunjukkan trend menurun. Tekanan terhadap sistem perubatan awam kian reda. Sekarang ini adalah detik penting untuk terus menstabilkan dan mengawal epidemik ini. Oleh itu, pemerintah memutuskan untuk meneruskan langkah-langkah jarak selamat sedia ada selama 14 hari lagi," jelas pihaknya dalam kenyataan di lamannya.

Para penduduk diwajibkan memakai pelitup dalam kenderaan dan di tempat-tempat awam yang dikhususkan dan perhimpunan melebihi empat orang dilarang di tempat-tempat awam. Peraturan itu juga kekal tidak berubah, menurut kenyataan tersebut.

Mereka yang berusia 12 tahun ke atas sekarang ini perlu menunjukkan bukti vaksinasi untuk memasuki restoran, pusat beli-belah, pasar raya dan kemudahan sukan di Hong Kong.

Pemerintah Hong Kong juga mengingatkan orang ramai bahawa aturan pas vaksin akan dilaksanakan bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bermula 30 Sep.

Mereka mesti menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin baru sebelum mereka boleh memasuki premis di mana pas vaksin itu diperlukan.

Pada Selasa lalu, Hong Kong menyatakan pihaknya merancang untuk membuat pengumuman tidak lama lagi berhubung dasar kuarantin hotel COVID-9 yang penuh kontroversi bagi semua ketibaan, memandangkan ia mahu menjadikan bandar itu terus terhubung dengan seluruh dunia dan membolehkan "pembukaan semula yang teratur".

Pemimpin bandar itu, John Lee, berkata beliau tahu Hong Kong perlu mengekalkan daya saingnya, sambil menambah pihak berkuasa bersedia mengembalikan acara-acara dan kegiatan-kegiatan ke bandar itu.

"Kami tahu ke mana yang kami benar-benar mahu tuju dan mahu menjadi konsisten sedang kami bergerak ke arah itu. Kami mahukan pembukaan semula yang teratur... kerana kami tidak mahukan kekecohan atau kekeliruan sepanjang proses itu," katanya kepada para wartawan.

Mengikut jejak China yang melaksanakan dasar sifar COVID-19, Hong Kong adalah antara sebilangan tempat di dunia yang masih memerlukan para pelawat luar negara untuk menjalani kuarantin sebaik sahaja mereka tiba meskipun tempoh kuarantin itu semakin dilonggarkan. Buat masa ini, semua ketibaan mesti membayar bagi tiga hari di hotel, disusuli dengan pemantauan kendiri selama empat hari.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan